Abdul Azeez saran muzakarah, ganti debat

124

7 OGOS: Tarikh 14 Ogos depan dicadangkan Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Rahim untuk program ‘debat’ antara beliau dengan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.

Pada masa sama, bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) itu turut meminta pihak penganjur agar menukar program berkenaan menjadi ‘muzakarah’ dan bukannya debat demi mendapat keredaan Allah.

Kata Abdul Azeez, beliau juga menyarankan kedua-dua pihak mengeluarkan pendapat dengan ilmiah untuk dikongsikan ilmu-ilmu tersebut kepada orang ramai.

“Dan saya pohon pada Ahli Parlimen Parit Buntar (Mujahid) agar hentikan pengaiban dan hinaan kepada saya, bekas Menteri dan pengurusan tertinggi Tabung Haji sebagaimana sebelum ini malahan baru-baru ini pun kata-kata yang mengaibkan telah dikeluarkan dengan sengaja oleh beliau,” katanya menerusi hantaran Facebook beliau hari ini.

Sementara itu, Abdul Azeez berkata, beliau secara peribadi berasa sedih, hiba dan kecewa apabila institusi yang menjadi kebanggaan umat Islam di negara ini kini telah menjadi medan pertelingkahan.

Beliau juga membangkitkan seolah-olah seperti ada keseronokan di pihak tertentu termasuk di media membincangkan isu ini hinggakan ada di antara sesama umat Islam yang saling mengeluarkan perkataan lucah sekalipun hanya untuk menyerangnya atau Mujahid.

Sebab itu, katanya, tidak kurang juga yang memberi pendapat membantah debat tersebut diadakan walaupun diakui ada yang menyokong program berkenaan diteruskan.

“Baru- baru ini saya telah membahaskan di Parlimen beberapa isu berkaitan pengurusan Tabung Haji yang pada pendapat saya perlu dimaklumkan kepada umum dan saya percaya ianya telah mendorong Mujahid untuk mempelawa saya berdebat,” ujarnya.

Dalam pada itu, Abdul Azeez berkata, serangan terhadap Tabung Haji dan pengurusannya telah dibuat sebelum PRU-14 lagi oleh pembangkang dengan tuduhan-tuduhan bahawa beliau sebagai Pengerusi dan pengurusan tertinggi yang lainnya telah menyeleweng, menipu dan memanipulasikan kedudukan kewangan Tabung Haji.

“Malahan lebih teruk lagi tuduhan perompak, penyamun dan pencuri dilaung-laungkan kepada kami. Pengurusan tertinggi Tabung Haji telah ditamatkan kontrak (selepas PRU-14) dan ada di antara staf yang telah digantung tugas dengan bayaran separuh gaji sehingga hari ini.

“Lebih teruk lagi laporan polis dibuat atas dakwaan salah laku menyeleweng dana dan dimalukan di akhbar-akhbar dan media sosial sebagai penyamun Tabung Haji,” jelasnya.

Menurutnya, selama 22 bulan mereka ini menangis, merintih kepada Allah kerana mereka melihat tiadanya ruang dan pembelaan untuk mereka.

“Saya pula dimalukan dengan kata-kata, penulisan poster dan meme yang menggambarkan sayalah perompak pencuri Tabung Haji.

“Umum tahu bahawa tiadanya pendakwaan melibatkan penyelewengan Tabung Haji tetapi naratif itu tidak pernah dihentikan oleh orang ramai akibat dan kesan daripada fitnah yang ditaburkan ke atas kami semua,” jelasnya. – Oleh M. HERMAN HAMID

Get real time updates directly on you device, subscribe now.