12 masjid zon selatan Perlis tangguh solat Jumaat

85

7 OGOS: Solat Jumaat dan aktiviti pengimarahan masjid di zon selatan Perlis ditangguhkan bermula hari ini, berikutan pandemik COVID-19 yang melanda kawasan terbabit berikutan kedudukan geografinya yang berdekatan Daerah Kubang Pasu, Kedah.

Raja Muda Perlis yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, penangguhan itu membabitkan 12 masjid di Sanglang dan sebahagian Simpang Empat serta Guar Sanji dengan Solat Jumaat digantikan dengan solat Zohor di rumah masing-masing.

Titah baginda, penangguhan terbabit mendapat perkenan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail selepas mengamati situasi semasa penularan wabak yang memerlukan tindakan segera bagi membendung penularan di kawasan jangkitan dan sekitarnya.

“Hanya empat pegawai masjid terdiri daripada imam, bilal, siak dan penjaga masjid dibenar melakukan solat Jumaat serta mengimarahkan masjid bagi memastikan syiar Islam terus tertegak di kawasan terbabit dengan penangguhan ini.

“Ahli kariah yang terbabit dalam penangguhan ini dilarang keluar dari kariah mereka untuk menunaikan solat Jumaat serta membabitkan diri dalam pengimarahan masjid di kariah yang tidak terjejas,” titah baginda dalam kenyataan dikeluarkan Istana Arau, tengah malam tadi.

Antara masjid terbabit adalah Masjid al-Rahman, Kampung Simpang Sanglang; Masjid al-Maghfirah, Sungai Korok; Masjid Darul Salam, Kampung Padang Keria; Masjid al-Makmur, Kampung Bongor Kudung; Masjid al-Furqan, Kampung Bunga Emas; Masjid Asy-Syakur, Kampung Permatang Bongor dan Masjid Dato’ Jaafar Hassan, Kampung Sungai Padang.

Selain itu turut terbabit Masjid Putra, Simpang Empat; Masjid al-‘Ilmi, Sungai Berembang; Masjid Ameer Fawwaz, Kampung Sungai Baru; Masjid Nurul Yaqin, Kampung Chantik Bangun dan Masjid Nurul Muttaqin di Kampung Che Ok.

Baginda bertitah, laungan ‘haiya a’las solah dan haiya a’lal falah’ di masjid terbabit perlu digantikan dengan ungkapan ‘sollu fi buyutikum’ yang bermaksud, solatlah di rumah kamu.

“Sekiranya didapati anggota masyarakat melanggar ketetapan seperti yang ditetapkan, ia hendaklah segera melaporkannya kepada pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs).

“Semua pihak pengurusan masjid di seluruh Perlis juga perlu sentiasa melaksanakan semua prosedur operasi standard (SOP) pengimarahan masjid tanpa sebarang kompromi,” katanya.

Sehingga semalam, dua kes positif COVID-19 baharu dilaporkan di Perlis membabitkan kawasan di Sanglang dan Padang Siding daripada Kluster PUI Sivagangga yang bermula di sebuah kedai makan di Napoh, Kedah.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.