Tiada masalah bekalan makanan walau ada kejutan krisis

39

6 OGOS: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) memberi jaminan bekalan makanan seperti beras, daging, ikan dan sayur-sayuran berada pada tahap yang stabil serta mencukupi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, pandemik Covid-19 merupakan langkah penyelesaian terbaik bagi negara melakukan persediaan awal bagi menghadapi apa jua kejutan krisis yang berlaku di negara ini.

Menurut beliau, pelbagai mekanisme dirangka oleh MAFI bagi meningkatkan sekuriti makanan dengan pemberian inisiatif dan nasihat-nasihat tenikal kepada para petani dan pesawah.

“Kedudukan stok beras oleh pemborong, peruncit dan kilang masih dalam keadaan konsisten 400,000 ke 500,000 metrik tan pada setiap bulan berbanding keperluan yang kita perlu sebanyak 200,000 tan manakala bekalan daging ayam, telur ayam, susu segar, bekalan daging kambing, lembu dan kerbau secara import dan tempatan mencukupi untuk keperluan semasa.

“Kita juga akan menambah baik infrastruktur seperti jalan dan fasiliti ladang khususnya pada bidang pengairan dan saliran sawah padi demgan kompelks jeti pendaratan ikan dan meningkatkan kemudahan pusat pengumpulan, proses dan pengedaran.

“Kita juga sentiasa periksa jelapang padi yang bekalkan makanan kita dan keadaanya dalam keadaan terbaik. Kita juga akan tingkatkan hasil padi melalui guna benih kualiti dan penggunaan teknologi,” katanya dalam sesi soal jawab Sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Ahli PArlimen BN Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang menyatakan langkah konstruktif yang dirangka bagi meningkatkan sekuriti makanan dalam negara agar sentiasa bersedia bagi menghadapi kejutan krisis agar negara berupaya mencapai tahap kemandirian bekalan makanan.

Dalam pada itu, menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Bebas Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyatakan langkah yang diambil kerajaan bagi memerangi orang tengah di samping penggunaan e-dagang di kalangan petani dan pesawah, Ahmad memberitahu kementerian telah pun melaksanakan penggunaan platform digital tersebut sejak tahun 2016.

Beliau tidak menafikan dengan tindakan yang dilakukan ini, bukan sahaja dapat memberi keuntungan terus kepada petani bahkan dapat mengurangkan penggunaan orang tengah yang memberi kesan kepada rakyat.

“MAFI telah perkenalkan 2016, e-commerce secara digital yang bukan sahaja dapat mendidik petani meremajakan sektor pertanian. Apa pandangan Yang Berhormat (Muar) saya ambil kira dan dah buktikan masa PKP bukan sahaja jualan meningkat melalui digital bahkan menjadi norma baharu hidup sekarang.

“Kita juga mahu kalau boleh bukan sahaja meremajakan pertanian dengan teknologi terkini tetapi kita mahu golongan-golongan muda untuk bersama-sama terlibat dalam sektor pertanian yang boleh memberi pendapatan yang lebih lumayan,” katanya. -Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.