RUU langkah sementara pembiayaan COVID-19 dibentang

28

6 OGOS: Rang Undang-Undang (RUU) Langkah-Langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19) 2020 dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat, hari ini.

Timbalan Menteri Kewangan, Mohd Shahar Abdullah ketika membentang RUU berkenaan menjelaskan ia membabitkan perbelanjaan tambahan berjumlah RM45 bilion.

RUU berkenaan antara lain bertujuan mengadakan peruntukan bagi langkah sementara berhubung pembiayaan kerajaan untuk mengurangkan kesan akibat COVID-19.

Langkah itu antaranya menaikkan had jumlah wang yang boleh diperoleh mengikut Akta Pinjaman (Tempatan) 1959 (Akta 637) dan jumlah wang yang boleh diterima di bawah Akta Pendanaan Kerajaan 1983 (Akta 275), bagi menubuhkan Kumpulan Wang COVID-19.

Ia termasuk membenarkan wang itu digunakan untuk program di bawah pakej rangsangan ekonomi dan pelan pemulihan ekonomi serta peruntukan bagi perkara berkaitan.

Berdasarkan RUU itu, program subsidi upah, insentif pengekalan pekerjaan dan pengambilan pekerja dan bantuan latihan menerima peruntukan tertinggi iaitu sebanyak RM16.8 bilion.

Ia juga membabitkan RM11.2 bilion bagi Bantuan Prihatin Nasional, projek berskala kecil (RM4 bilion) masing-masing RM2 bilion untuk program kemahiran dan peningkatan kemahiran serta Pembiayaan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) PENJANA selain Geran PRIHATIN PKS (RM1.9 bilion).

Selain itu, sejumlah RM500 juta bagi diskaun bil elektrik, bantuan khas pelajar institusi pendidikan tinggi (RM300 juta) dan subsidi pengangkutan awam MY30 (RM200 juta).

Mohd Shahar turut memaklumkan bacaan kali kedua RUU berkenaan akan dibentangkan pada persidangan kali ini.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.