MAHA 2020 diadakan secara hibrid

118

6 OGOS: Penganjuran Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Malaysia (MAHA 2020) dijangka diadakan secara hibrid antara 26 hingga 29 November ini.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan PKP semalam, bersetuju secara dasar dengan cadangan penganjuran MAHA 2020 yang akan diadakan secara fizikal dan maya (virtual).

Beliau berkata, pihak pengurusan Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang akan menyediakan garis panduan yang perlu dipatuhi untuk penganjuran pameran pertanian terbesar di negara ini.

Katanya, antara garis panduan yang perlu dipatuhi termasuk hanya peserta yang diberi kad jemputan saja yang dibenarkan masuk ke tapak pameran manakala kehadiran mereka perlu direkodkan manakala peserta antarabangsa pula hanya dibenarkan terbabit secara dalam talian.

“Prosedur operasi standard (SOP) perancangan dan pelaksanaan akan diperhalusi dan dibincangkan lanjut dalam Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal,” katanya pada sidang media hari ini.

Sementara itu dalam isu berasingan, kata Ismail Sabri, penduduk di empat mukim di Kedah yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran (Temco) masih bebas bergerak dan boleh keluar membeli barangan keperluan asas.

Jelas beliau, mereka masih bebas untuk keluar membeli barangan keperluan tidak seperti PKP di mana tidak langsung dibenarkan keluar rumah tetapi perlu menjalani ujian swab.

Menurutnya, premis perniagaan masih dibuka seperti biasa dan restoran juga dibuka cumanya hanya perlu bungkus dan tidak boleh makan di premis.

“Ia berbeza dengan PKP dahulu di mana tidak boleh keluar tetapi mereka ini masih bebas bergerak. Jadi tidak timbul isu tiada bekalan makanan.

“Cuma jika penduduk tidak boleh mendapat bekalan makanan kerana kedai kehabisan stok, yang itu saya akan maklumkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) supaya menambah mana-mana kekurangan di kawasan terbabit sama ada di Kubang Pasu atau Padang Terap,” katanya mengulas keluhan penduduk mengenai kesukaran mendapat bekalan makanan susulan Temco.

Ismail Sabri berkata, mereka juga masih boleh bekerja tetapi sebelum keluar perlu dipastikan negatif ketika melakukan ujian swab dan di sekatan jalan raya perlu disaring suhu dan memberi maklumat diri supaya jika apa-apa berlaku mudah mengesan mereka.

Mengulas mengenai aduan makanan tidak berkualiti di pusat kuarantin, beliau berkata, perkara itu sudah diambil maklum oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

“Terbaru saya dimaklumkan, NADMA sudah menukar menu yang didakwa tidak berkualiti itu,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.