Lebih 300,000 hilang rumah, stok bijirin Lebanon musnah

77

6 OGOS: Letupan dahsyat di Pelabuhan Beirut semalam menyebabkan kira-kira 300,000 penduduk ibu kota Lebanon itu tiada tempat kediaman untuk berlindung dalam sekelip mata.

Menurut Datuk Bandar Beirut, Marwan Abboud, ini berikutan letupan kelmarin itu menghancurkan kira-kira separuh kawasan ibu kota Lebanon dengan angka korban terus meningkat melebihi 100 dan 5,000 lagi cedera.

Malah, letupan yang berpunca daripada gudang penyimpanan bahan kimia di pelabuhan tersebut turut memusnahkan gudang simpanan bijirin utama yang menyimpan stok keperluan untuk 85 peratus penduduk.

Ini menyebabkan stok simpanan bijirin untuk Lebanon dijangkakan hanya mampu bertahan untuk sebulan sahaja sekali gus memerlukan bantuan segera masyarakat antarabangsa.

Sementara itu, Pegawai Pelabuhan Beirut yang bertanggungjawab membenarkan penyimpanan bahan kimia mudah meletup sejak 2014 kini diletakkan di bawah tahanan rumah – langkah bagi mengebalikan keyakinan rakyat terhadap integriti kerajaan.

Menteri Penerangan, Manal Abdel Samad berkata, tahanan rumah dikuatkuasakan ke atas semua pegawai terlibat dalam menguruskan kertas kerja penyimpanan amonium nitrat yang dilaporkan berlaku sejak enam tahun lalu.

“Beirut kini juga diletakkan dalam perintah darurat untuk tempoh dua minggu,” katanya seperti dilaporkan media tempatan.

Letupan berkenaan disebabkan kebakaran 2,750 tan amonium nitrat yang disimpan secara tidak selamat di gudang pelabuhan tersebut.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.