Korban meningkat 135, rakyat Lebanon marah kerajaan

82

6 OGOS: Kemarahan masyarakat Lebanon meningkat mengenai bagaimana sejumlah besar bahan yang sangat mudah terbakar – kadang-kadang digunakan untuk membuat bom buatan sendiri disimpan di sebelah kawasan yang padat selama sekurang-kurangnya enam tahun.

Walaupun kerajaan berikrar untuk menyiasat dan mendesak tentera supaya menempatkan mereka yang bertanggungjawab menyimpan bahan terbabit di bawah tahanan rumah, namun warga Beirut sudah hilang keyakinan.

Lina Daoud, seorang penduduk yang sudah 45 tahun menetap di daerah Mar Mikhail yang hancur di mana letupan itu menyebabkan ​​mayat bertaburan di jalan, mengecam ahli politik negara itu sebagai ‘musuh negara’.

“Mereka membunuh impian kita, masa depan kita,” katanya. “Lubnan adalah syurga, mereka menjadikannya neraka.”

Letupan dan kebakaran awal di pelabuhan menyebabkan ramai orang keluar ke balkoni dan bumbung di mana mereka merakam kejadian ketika baja meletup, mengirimkan gelombang kejutan besar di seluruh bandar.

Ketika ini penyelamat bertungkus lumus mencari mangsa yang terselamat dari bencana letupan di pelabuhan Beirut yang menyebabkan kemusnahan di seluruh bandar, membunuh sekurang-kurangnya 135 orang, mencederakan ribuan orang dan memburukkan lagi keadaan negara yang dilanda krisis itu.

Letupan kelmarin dipercayai berpunca dari api yang membakar 2,750 tan baja ammonia nitrat yang tidak dilindungi di gudang pelabuhan Beirut, boleh didengar hingga sejauh Cyprus yang kira-kira 240 kilometer jauhnya.

Ia melanda ibu kota Lebanon seperti gempa bumi, dengan puluhan masih hilang semalam, ribuan orang miskin melarat dan ribuan lagi dimasukkan ke hospital-hospital yang penuh sesak untuk mendapatkan rawatan.

Seorang doktor yang kepalanya sendiri dibalut seperti pesakitnya, menggambarkan tempat kejadian sebagai ‘Armageddon’.

“Orang yang mengalami luka dan berdarah merata-rata di tengah jalan, yang lain terbaring di atas tanah di halaman hospital,” kata Dr Antoine Qurban di luar Hospital Hotel Dieu Hospital di pusat bandar Beirut.

Sementara itu, sekutu rapat dan musuh tradisi Lebanon semalam memberi penghormatan kepada mangsa letupan di Beirut, ketika ucapan takziah dan bantuan ditawarkan kepada negara itu.

Perdana Menteri Lubnan, Hassan Diab, menggesa negara sekutunya menyokong negara itu yang kini berada dalam krisis ekonomi terburuk sejak beberapa dekad, selain dilanda pandemik COVID-19.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, menzahirkan takziah susulan letupan Beirut itu, yang turut mencederakan beberapa kakitangan PBB.

Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, berkata ia adalah ‘serangan yang teruk’ dan jeneral AS memaklumkan kepadanya bahawa letupan itu mungkin disebabkan ‘sejenis bom’, namun tidak mengemukakan bukti.

Di rantau itu, beberapa negara Teluk antara yang terawal memberi reaksi, dengan Qatar berjanji membuka hospital lapangan bagi menyokong bantuan perubatan.

Pemerintah Qatar, Emir Sheikh Tamim Hamad Al-Thani, turut mendoakan mereka yang cedera segera pulih.

Kakitangan di pangkalan udara Al-Udeid di Doha sudah menyiapkan ratusan katil mudah alih, penjana kuasa dan kelengkapan perubatan dalam salah satu daripada empat pesawat kargo yang dijadual melakukan penerbangan ke Beirut hari ini.

Presiden Iran, Hassan Rouhani, turut menyampaikan mesej kepada rakan sejawatnya bahawa Tehran bersedia menawarkan bantuan perubatan manakala Raja Jordan, Raja Abdullah II, menjanjikan sebuah hospital di lapangan.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.