Kluster Sivagangga catat 6 kes baharu

72

6 OGOS: Enam kes baharu telah dikesan dalam Kluster PUI Sivagangga hari ini melalui aktiviti pengesanan kes secara aktif.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, satu daripada enam kes baharu ini iaitu kes ke-9032 mempunyai kontak rapat kepada ahli keluarga beliau yang pernah mengunjungi kedai makan yang terbabit dalam kluster ini.

Menurut beliau, kes mula mengalami gejala saluran pernafasan pada 2 Ogos lalu.

“Kes kemudiannya dikesan positif COVID-19 pada 5 Ogos lalu dan telah dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah.

“Ahli keluarga tersebut telah disaring untuk COVID-19 dan masih menunggu keputusan,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Dr Noor Hisham menambah, lima lagi kes baharu terdiri daripada satu keluarga iaitu kes ke-9033, 9034, 9035, 9036 dan 9037.

Beliau memberitahu, mereka mempunyai sejarah mengunjungi ke salah satu kawasan yang kini di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran di negeri Kedah.

“Mereka telah dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah untuk rawatan. Punca jangkitan dalam keluarga tersebut adalah masih dalam siasatan.

“Keenam-enam kes ini merupakan kes-kes generasi kedua dalam Kluster PUI Sivagangga. Saringan kontak rapat kes-kes positif ini dan aktiviti pengesanan kes secara aktif diteruskan,” jelasnya.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan, daripada siasatan yang telah dijalankan ke atas kes ke-9023 dari Kulim iaitu kes yang telah dilaporkan pada 5 Ogos lalu, seramai 15 kontak rapat beliau telah dikenal pasti dan disaring.

“Punca jangkitan kes ini adalah masih dalam siasatan,” ujarnya.

Secara keseluruhan, kata beliau, seramai 2,351 orang telah disaring dalam kluster tersebut dan daripada jumlah itu, sebanyak 30 kes dikesan positif COVID-19 manakala 1,617 kes negatif dan 704 kes sedang menunggu keputusan pensampelan yang dilakukan semalam. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.