Istana Negeri nafi tuduhan terhadap Tun Juhar

418

6 OGOS: Istana Negeri Sabah menafikan tuduhan Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia, Datuk Zulkarnain Mahdar yang mengaitkan Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dengan perbuatan salah guna kuasa, rasuah dan menerima imbuhan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

Penafian itu dibuat melalui kenyataan media yang dikeluarkan oleh Setiausaha Sulit Kepada Yang Dipertua Negeri Sabah, Abinan Asli hari ini berikutan laporan yang dibuat oleh Zulkarnain terhadap Juhar di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Putrajaya, semalam.

Abinan menegaskan, Istana Negeri Sabah menyangkal sekeras-kerasnya dakwaan yang dibuat oleh Zulkarnain Mahdar sekali gus menyifatkan kenyataan tersebut adalah tidak benar dan tidak berasas sama sekali serta mengandungi niat jahat.

Beliau berkata, Yang Dipertua Negeri Sabah tidak pernah menerima 33 akuan bersumpah seperti yang didakwa Zulkarnain sebelum menandatangani pengisytiharan pembubaran DUN Sabah.

“Istana Negeri tidak pernah menerima permintaan secara rasmi atau tidak rasmi daripada pihak (bekas Ketua Menteri Sabah).Tan Sri Musa Aman untuk mengadakan perjumpaan dengan Tuan Yang Terutama.

“Rombongan Tan Sri Musa Aman berserta beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang memihak kepadanya telah cuba masuk ke Istana Negeri pada 30 Julai 2020 tanpa membuat permohonan secara rasmi dan telah disekat oleh pihak polis,” jelasnya.

Pada 30 Julai lalu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengumumkan pembubaran DUN Sabah bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri (PRN) diadakan dalam tempoh 60 hari, selepas mendapat perkenan Yang Dipertua Negeri.

Pembubaran DUN Sabah itu rentetan kemelut politik yang menyaksikan Musa mengetuai beberapa Ahli DUN Sabah untuk menghadap Juhar selepas mendakwa memperoleh majoriti mudah bagi membentuk kerajaan negeri baharu.

Abinan menambah, Istana Negeri Sabah tidak pernah mengarahkan pihak polis untuk menyekat Musa dan rombongan memasuki kawasan istana pada 30 Julai lalu sebaliknya sekatan itu telah dibuat polis bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.

Beliau berkata, Juhar tidak memperkenankan rombongan Musa untuk bertemu dengannya pada 30 Julai lalu selepas mengambil kira suasana tegang ketika itu dan DUN Sabah telah dibubarkan pada pagi hari yang sama.

“Tuan Yang Terutama amat kesal dengan laporan tidak benar yang sedang tular di media sosial dan aplikasi WhatsApp mengaitkan Tuan Yang Terutama,” jelasnya.

Abinan memberitahu, Juhar turut mengingatkan rakyat supaya bertenang dan tidak mudah mempercayai berita palsu di internet atau media sosial serta berhati-hati dan tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh mewujudkan ketegangan dan menggugat keharmonian rakyat.

“Tuan Yang Terutama menyeru rakyat Sabah supaya terus bersatu hati dan mengekalkan keharmonian negeri Sabah yang hidup aman damai,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.