Guan Eng ditahan SPRM malam ini

2,265

6 OGOS: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan Ahli Parlimen PH Bagan, Lim Guan Eng ditahan malam ini.

SPRM dalam kenyataan media malam ini memaklumkan telah mendapat izin mendakwa daripada Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun bagi mendakwa Lim Guan Eng dalam dua pertuduhan berkaitan skandal projek terowong dasar laut di Pulau Pinang.

Bagi pertuduhan pertama, beliau akan didakwa di Mahkamah Khas Rasuah Kuala Lumpur pada jam 9 pagi esok di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

Untuk pertuduhan kedua, Guan Eng akan didakwa di Mahkamah Sesyen Pulau Pinang pada jam 9 pagi, 10 Ogos ini di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Sementara itu, SPRM turut mendapat izin mendakwa daripada Peguam Negara untuk Guan Eng bagi kes berlainan di Mahkamah Sesyen Pulau Pinang pada jam 9 pagi, 11 Ogos ini mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Difahamkan, bekas Menteri Kewangan itu hadir ke Ibu Pejabat SPRM Putrajaya malam ini berhubung siasatan skandal terowong dasar laut Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion.

Guan Eng tiba di Ibu Pejabat SPRM bersama peguam merangkap Ahli Parlimen PH Jelutong, RSN Rayer, dengan menaiki Velfire berwarna putih kira-kira jam 9.10 malam ini.

Sebelum itu berlegar desas-desus berhubung kemungkinan Setiausaha Agung DAP itu ditahan hari ini selepas menghadiri sidang Dewan Rakyat. – Oleh HUSSAINI AMRAN & HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.