Adham sangkal Bandar Kuching, KKM tidak sembunyi data

75

6 OGOS: Tiada data yang disembunyikan, tegas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba menjawab isu dibangkitkan Ahli Parlimen PH Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii Lee Wuen mengenai kemungkinan pihak kerajaan tidak telus berhubung data kes COVID-19 di Sarawak.

Lee Wuen sebelum itu tidak berpuas hati selepas pihaknya mendapat maklumat ada pesakit yang telah disaring untuk COVID-19 namun kes tersebut tidak dikeluarkan menerusi laporan rasmi daripada KKM.

Menurut Adham, pihaknya menafikan perkara tersebut namun jika terdapat kesalahan daripada keputusan yang dikeluarkan, itu merupakan kesalahan yang dilakukan oleh pihak makmal kerana tidak mengikut prosedur yang telah ditetapkan.

“Selepas kita uji semua kontak, yang positif hanya 0.96 peratus guna test RT-CPR ia merupakan standard yang boleh dibuat dalam masa pantas namun keputusan salah boleh berlaku jika pihak makmal tidak ikut prosdeur yang sebenar.

“Kalau dah kita dapat kesan pertama kali dah boleh kesan positif, kena ulang semula swab untuk dapatkan keputusan kedua untuk keputusan sebenar yang itu boleh kita anggap positif,” katanya bagi menjawab pertanyaan tambahan Lee Wuen pada sesi soal jawab Sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Sementara itu, menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Bersatu Beufort, Datuk Azizah Dun mengenai langkah kerajaan mengawal kluster baharu khususnya di kalangan warga asing dan mereka yang baharu pulang dari luar negara, Adham menegaskan pihaknya sentiasa memantau dengan teliti dan ketat bagi memastikan pandemik tidak merebak.

“Kita bukan sahaja mengesan kes-kes kluster keagamaan dan kontak rapat tetapi ada kumpulan yang dipanggil penggembara yang balik ke negara kita.

“Untuk itu, kita tingkatkan pemantauan dalam kalangan mereka bergejala. Yang bergejala akan disaring dan dirawat manakala yang tidak bergejala pula jika ada kontak rapat kes psotiif untuk tampil dan buat kes saringan,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.