15 kes baharu COVID-19, tiada kematian

55

6 OGOS: Sebanyak 15 kes baharu positif COVID-19 dilaporkan hari ini sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 9,038 kes positif dan 200 kes aktif dengan kebolehjangkitan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada 15 kes baharu itu, lima kes adalah kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara yang melibatkan tiga rakyat Malaysia dan dua bukan warganegara.

“Lima kes import tersebut adalah dari negara Filipina iaitu empat kes di Sabah dan Afrika Selatan iaitu satu kes di Kuala Lumpur,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Beliau menambah, daripada 10 kes penularan di dalam negara, lapan kes adalah dalam kalangan rakyat Malaysia dan dua kes adalah dalam kalangan bukan warganegara.

Dr Noor Hisham memperincikan kes penularan melibatkan rakyat Malaysia berlaku di Kedah (6 kes Kluster PUI Sivagangga), Negeri Sembilan (satu kes saringan di tempat kerja) dan Labuan (satu kes saringan di pintu masuk antarabangsa).

Beliau memberitahu, dua kes jangkitan melibatkan warga asing pula berlaku masing-masing berlaku di Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur.

“Sehingga kini, terdapat dua kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana satu kes memerlukan bantuan pernafasan,” jelasnya.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan, tiada pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan hari ini.

“Justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 125 kes atau 1.38 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” ujarnya.

Dalam pada itu, sebanyak 11 kes yang telah pulih COVID-19 hari ini dan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 adalah sebanyak 8,713 kes atau 96.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.