Tiga lagi positif COVID-19 dari kluster PUI Sivagangga

104

5 OGOS: Kluster PUI Sivagangga yang mempunyai kaitan asal dari sebuah kedai makan di daerah Kubang Pasu Kedah terus mencatatkan pertambahan kes baru COVID-19 dengan hari ini sahaja sebanyak tiga kes dilaporkan.

Perkembangan ini menjadikan kes daripada kluster PUI Sivagangga berjumlah 24 setakat ini dengan salah satu kes terbaru membabitkan penduduk di Kulim – yang terletak lebih 100 kilometer dari premis berkenaan.

Tiga kes terbaru ini adalah generasi kedua daripada kluster berkenaan dengan kes indeks adalah daripada pemilik premis berkenaan di pekan Napoh yang melanggar perintah kuarantin di rumah setelah pulang dari India.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, keseluruhannya terdapat 21 kes baru COVID-19 dilaporkan dengan 15 daripadanya melibatkan kes import.

Katanya, kes import teramai dilaporkan hari ini ialah melibatkan rakyat Malaysia yang pulang dari Yemen melibatkan 12 kes diikuti masing-masing satu kes dari Papua New Guinea, Ivory Cost dan United Kingdom.

“Semua kes import ini adalah di Kuala Lumpur. Mereka telah diasingkan di pusat kuarantin selepas ketibaan di Pintu Masuk Antarabangsa Kuala Lumpur International Airport (KLIA), justeru tidak membawa risiko jangkitan kepada masyarakat setempat.

“Implementasi kawalan sempadan antarabangsa yang ketat adalah penting bagi mengelakkan berlakunya penularan dalam negara bagi jangkitan COVID-19 yang berpunca dari luar negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Noor Hisham, tiga lagi kes jangkitan dalam negara melibatkan dua kes saringan pra pembedahan dan saringan pra prosedur di hospital di Sabah manakala satu lagi kes dilaporkan di Johor.

“Sehingga kini, terdapat dua kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Tiada kes yang memerlukan bantuan pernafasan dan tiada pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19.

“Dengan perkembangan ini, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 pula adalah 196 kes,” katanya.

Mengenai, kluster PUI Sivagangga, beliau berkata, ketiga-tiga kes yang dikesan positif itu dikenal pasti melalui saringan kontak rapat kes positif kluster ini, di mana mereka adalah kes generasi kedua.

“Dua daripada kes-kes tersebut adalah kontak rapat kepada kes ke-9000 di mana kedua-duanya adalah anak kepada kes tersebut (iaitu kes ke-9021 dan kes ke-9022). Seorang daripada anak beliau telah mengalami gejala saluran pernafasan pada 30 Julai 2020 namun tidak mendapatkan rawatan di mana-mana fasiliti kesihatan.

“Kes ketiga (iaitu kes ke-9023) pula adalah kontak rapat kepada kes ke-8976. Beliau telah mengalami gejala demam serta gejala saluran pernafasan pada 2 Ogos 2020 dan telah mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Taman Selasih, Kulim,” katanya.

Noor Hisham dalam pada itu, memaklumkan terdapat satu mesej tular palsu berkaitan kes ini yang memberikan maklumat terperinci kawasan yang telah beliau lawat.

“Orang ramai dinasihatkan untuk tidak menyebarkan mesej palsu tersebut kerana ianya adalah tidak tepat. Tindakan pengesanan kes secara aktif akan diteruskan, dan situasi semasa akan dimaklumkan.

“Ketiga-tiga kes baharu ini dikesan positif pada 4 Ogos 2020 dan telah dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah untuk rawatan,” ujarnya.

Tambah Noor Hisham, sehingga 5 Ogos 2020 jam 12 tengah hari, seramai 1,647 orang telah disaring dalam kluster PUI Sivagangga dengan 869 masih menunggu keputusan. -Oleh M.HERMAN HAMID

Get real time updates directly on you device, subscribe now.