MRC sedia dana RM36 juta galak ambil pekerja tempatan

126

5 OGOS: Majlis Getah Malaysia (MRC) akan mewujudkan dana khas berjumlah RM36 juta bagi menggalakkan industri hiliran terutamanya sektor pengeluaran sarung tangan getah untuk mengambil lebih ramai pekerja tempatan.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, langkah itu sejajar dengan dasar baharu kerajaan yang mengutamakan pewujudan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia dalam usaha mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing,

“Dana berkenaan menyasarkan pengambilan sekurangkurangnya 10,000 pekerja tempatan dalam lebih daripada 200 buah syarikat di sektor industri getah.

“Dana khas terbabit akan dibuka kepada syarikat pembuatan berasaskan getah untuk menggiatkan lagi mengupah pekerja tempatan mulai Ogos 2020 sehingga Disember 2021,” katanya dalam kenyataan media.

MRC merupakan penjenamaan semula Majlis Promosi Eksport Getah Malaysia (MREPC) yang diberi peranan mempromosi produk getah negara di pasaran domestik dan global.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Khairuddin memberitahu, kementeriannya yakin eksport sarung tangan getah berpotensi besar untuk terus berkembang sehingga 25 peratus dengan mengambil kira situasi semasa COVID-19 yang melanda dunia.

“Malaysia yang menguasai 65 peratus pasaran sarung tangan getah dunia dijangka akan terus kekal sebagai pengeluar utama berikutan lonjakan permintaan terhadap sarung tangan getah perubatan,” jelasnya. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.