Kerajaan tidak benarkan warga asing pekerja barisan hadapan

154

5 OGOS: Kerajaan memandang serius impak pendemik COVID-19 terhadap pekerja tempatan dan komited memastikan pencari kerja tempatan diberikan keutamaan oleh majikan dalam semua sektor pasaran pekerjaan sekaligus mengurangkan kebergantungan kepada tenaga buruh asing.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan, berkata, ini terbukti apabila kerajaan memutuskan untuk membekukan pengambilan pekerja asing dalam semua sektor sehingga akhir tahun 2020.

Justeru, kerajaan tidak akan membenarkan warga asing berkerja sebagai pekerja barisan hadapan seperti pelayan kedai makan atau restoran, juruwang di pasar raya dan stesen minyak.

“Contohnya walaupun kita benarkan warga asing bekerja sebagai atendan di stesen minyak namun mereka tidak menjadi di kaunter juruwang (pekerja barisan hadapan).

“Begitu juga kita benarkan warga asing bekerja sebagai tukang masak di kedai makan atau restoran namun mereka tidak boleh bekerja selaku pelayan dan juruwang, sekali gus memberi peluang kepada rakyat tempatan (pekerja barisan hadapan) mengisi kekosongan berkenaan,” katanya  ketika menjawab soalan di sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat, sebentar tadi.

Saravanan menjawab soalan Ahli Parlimen BN Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim yang meminta menteri berkenaan menyatakan apakah inisiatif Kerajaan dalam usaha mengurangkan kadar guna tenaga asing yang mendominasi sektor pembuatan dan pembinaan negara.

Abdul Azeez juga mahu Saravanan menyatakan sejauh manakah usaha kerajaan berjaya mengurangkan kadar pengangguran warga tempatan yang kehilangan pekerjaan akibat COVID-19.

Mengulas lanjut, Saravanan berkata langkah berkenaan adalah sebahagian daripada usaha mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing di semua sektor termasuk pembinaan, pembuatan, perkhidmatan dan peladangan.

Selain itu, katanya, kerajaan juga mewajibkan iklan kekosongan jawatan untuk tempoh 30 hari di portal Jobs Malaysia bagi tujuan pengambil pekerja asing dan pegawai dagang, manakala jawatan petugas barisan hadapan tidak dibenarkan ditawarkan kepada pekerja bukan warganegera.

“Semua agensi kawal selia diwajidkan menyediakan ‘Exit Plan’ (pelan penyelesaian) bagi membolehkan sektor memerlukan penggunaan buruh secara extansif beralih kepada penggunaan teknologi robotik dan automasi bagi mengurang kebergantungan kepada pekerja asing.

“Majikan juga digalakkan mewujudkan peluang pekerjaan yang memerlukan kemahiran misalnya pelaksanaan sistem IBS dalam sektor pembinaan, restoran berkonsepkan layan diri dan sebagainya,” katanya.- Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.