Bukan begini cara berbahas, Speaker tahan sabar sikap wakil DAP

1,022

5 OGOS: Ahli Parlimen PH Bakri, Yeo Bee Yin, mencetuskan kekecohan apabila beliau beberapa kali menuduh Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon berat sebelah dan tidak berlaku adil kepadanya.

Insiden itu bermula apabila Mohd Rashid enggan membenarkan Bee Yin mencelah ketika Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah, sedang menjawab soalan dikemukakan oleh Ahli Parlimen BN Jempol, Datuk Salim Sharif bahawa kerajaan PH menganugerahkan tiga projek kategori LXS3 kepada empat syarikat asing.

Tindakan Bee Yin yang tetap berdegil walaupun ditegur tiga kali menyebabkan Mohd Rashid terpaksa menggunakan kuasanya untuk mengarahkan Ahli Parlimen Bakri itu duduk, sebelum memintanya menghormati giliran Menteri menjawab soalan yang sudah dikemukakan.

“Bakri sila duduk, ini bukan sesi perbahasan biarlah YB Menteri jawab kerana ‘Floor’ beliau. Menteri banyak soalan lain yang perlu dijawab,” sambil meminta Shamsul Anuar meneruskan ucapan pengulungannya.

Bagaimanapun, Bee Yin yang tidak berpuas hati dengan tindakan Mohd Rashid seterusnya membalas dengan berkata: ‘Adakah Speaker berat sebelah?” dan “Adakah ini adil?”.

Mohd Rashid kemudian menegaskan beliau memang berlaku adil dan ini adalah giliran Menteri jadi terpulang kepada Shamsul Anuar sama ada mahu memberi laluan kepada Bee Yin mencelah atau tidak selepas ini.

“Sudah ada dua orang mengemukakan bantahan kerana Bakri menggunakan perkataan ‘saya berat sebelah’ sekiranya mengaku benar sila tarik balik ungkapan berkenaan,” katanya.

Namun, bekas bekas Menteri Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim di zaman kerajaan PH itu menjelaskan beliau hanya akan menarik balik ungkapan berkenaan jika dibenarkan mencelah oleh Shamsul Anuar.

Tindakan itu menyebabkan Dewan Rakyat bertambah hangat apabila Mohd Rashid sekali lagi mengulangi amarannya supaya Bakri menarik balik ungkapannya.

“Kalau ikut peraturan sesiapa yang mahu bangun mencelah mesti dapat kebenaran Speaker. Anda tidak berbuat demikian jadi Bakri saya minta kamu tarik balik ungkapan itu.

“Tarik balik Bakri apa yang kamu katakan bahawa Speaker berat sebelah. Saya minta Bakri tarik balik perkataan itu kalau tidak akan minta bentara menjalan tugas kerana kamu berdiri di sana tanpa kebenaran saya.

“Saya bagi amaran kedua supaya tarik balik perkataan itu Bakri. Kali ketiga saya minta Bakri minta maaf. Saya minta ‘you’ tarik balik tanpa syarat,” kata Mohd Rashid.

Amaran itu menyebabkan Bee Yin memohon maaf dan menarik balik ungkapannya bahawa ‘Speaker berat Sebelah’

Berikutan itu, Shamsul Anuar meminta Ahli Parlimen Bakri itu duduk dan tunggu sehingga beliau selesai menjawab soalan sebelum dibenarkan mencelah dan mengemukakan hujahnya. -Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.