Ammonium nitrat dipercayai punca letupan di Beirut

105

5 OGOS: Ammonium nitrat dikatakan menjadi punca letupan besar di Pelabuhan Beirut semalam yang setakat ini dipercayai mengorbankan sekurang-kurang 60 nyawa dan mencederakan hampir 3,000 mangsa.

Memetik laporan Agensi Anadolu, Presiden Lebanon, Michel Aoun berkata, perbuatan menyimpan sebanyak 2,750 tan metrik bahan kimia itu di gudang tanpa langkah keselamatan adalah sesuatu yang tidak dapat diterima.

“Mereka yang bertanggungjawab akan dihukum dengan cara yang paling berat,” tegasnya dalam ciapan Twitter miliknya.

Aoun turut dilaporkan telah mengarahkan Majlis Pertahanan Tertinggi Lebanon mengadakan mesyuarat tergempar hari ini.

Majlis berkenaan turut mengisytiharkan darurat selama dua minggu di Beirut.

Seiring dengan situasi darurat, kerajaan Lebanon mengambil keputusan antaranya memperuntukkan dana kepada hospital untuk menampung perbelanjaan mangsa yang cedera, membayar pampasan kepada waris mangsa terkorban dan membekalkan gandum berikutan kerosakan pada gudang gandum.

Sebuah jawatankuasa penyiasatan juga telah ditubuhkan yang akan menyiapkan laporan mengenai letupan itu dalam masa lima hari.

Kebakaran di gudang berisi bahan letupan di Pelabuhan Beirut itu menyebabkan letupan besar, yang meranapkan sebuah bangunan tiga tingkat dan bunyi letupan kuat didengari di seluruh bandar dan pinggir bandar.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.