25 penguat kuasa ditahan subahat bawa masuk PATI

100

5 OGOS: Pihak berkuasa Malaysia menahan 25 anggota penguat kuasa kerana disyaki menjadi pengkhianat negara dengan bersubahat dengan sindiket tertentu untuk membawa masuk pendatang tanpa izin (PATI) ke Malaysia, sejak Ops Benteng dilancarkan mulai 1 Mei lalu.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada 18 anggota dan pegawai polis, lima anggota tentera dan dua pegawai imigresen.

Katanya, Ops Benteng yang dijalankan oleh Pasukan Bertindak Kebangsaan (NTF) dianggotai Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya menahan seramai 3,597 individu termasuk 2,625 PATI, 602 tekong dan 370 pemberi maklumat atau orang yang bersubahat dengan kegiatan kemasukan warga asing secara haram.

“Kerajaan dan KDN mengambil berat terhadap tindakan dilakukan oleh anggota penguat kuasa terbabit dengan Ops Benteng yang didapati melakukan perbuatan menyalahi undang-undang dengan bersubahat atau menjadi pemberi maklumat  kepada sindiket membawa masuk PATI ke Malaysia.

“Justeru, kita sudah menahan 25 anggota penguat kuasa Malaysia termasuk 18 pegawai dan anggota polis, lima anggota  ATM dan dua pegawai imigresen.

“Kita juga akan meneruskan operasi Ops Benteng dari semasa ke semasa bagi menghalang kegiatan penyeludupan PATI ke negara ini, pada masa depan,” katanya dalam sesi soal jawab lisan sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Ismail menjawab soalan dikemukakan oleh Ahli Parlimen BN Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid berhubung tahap keberkesanan mekanisme Ops Benteng yang dilaksanakan bagi mengatasi masalah sindiket penyeludupan PATI dan pemerdagangan manusia.

Mahdzir juga ingin tahu adakah terdapat tangkapan yang telah dibuat terhadap pegawai dan anggota  penguatkuasa yang terlibat dengan aktiviti berkenaan.

Mengulas lanjut, Ismail mengesahkan kerajaan sudah menghantar pulang seramai 22,297 PATI ke negara asal masing-masing.

Katanya, daripada jumlah itu 5,613 adalah warga Indonesia diikuti 3,990 warga Myanmar dan warga Bangladesh.

“Dari semasa ke semasa kita nak pastikan PATI yang kita letak di depot ini kita segera hantar pulang,” katanya bagi menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen PKR JohorBahru, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.