127 individu ditahan ingkar arahan PKP

29

5 OGOS: Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan seramai 127 individu seramai atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, seramai lapan individu telah direman manakala 119 individu pula dikenakan kompaun.

“Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk 65 aktiviti yang tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan 62 aktiviti dengan melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan sosial,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Berhubung Operasi Benteng, beliau memberitahu, seorang individu ditahan atas kesalahan imigresen semalam dan PDRM telah memeriksa 31,707 kenderaan melalui 63 sekatan jalan raya.

Selain itu, Ismail Sabri berkata, seramai lima individu dikenakan tindakan kerana gagal mematuhi SOP kuarantin wajib di rumah.

Secara keseluruhan, jelas beliau, sejak 24 Julai sehingga semalam, seramai 5,355 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan ditempatkan di 21 hotel serta lima institut latihan awam di seluruh negara.

“Daripada jumlah itu, seramai 13 individu telah dihantar ke hospital untuk rawatan,” jelasnya.

Ismail Sabri menambah, mereka telah pulang dari 28 negara iaitu Filipina, Thailand, Indonesia, Kemboja, Singapura, Vietnam, Brunei, Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Hong Kong, India, Emiriah Arab Bersatu, Jepun, Turki, Korea Selatan, Iran, Nepal, Bangladesh, Taiwan, China, United Kingdom, Belanda, Papua New Guinea, Mesir, Sepanyol, Perancis dan Australia.

Beliau berkata, PDRM telah melakukan 1,969 pemeriksaan terhadap individu yang sedang menjalankan kuarantin wajib 14 hari di kediaman masing-masing. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.