Tiada arahan pengunjung Kubang Pasu wajib buat saringan

58

4 OGOS: Kementerian Kesihatan menafikan berita palsu berhubung arahan bagi ibu bapa dan pelajar yang bercuti di Kubang Pasu, Kedah baru-baru ini untuk menjalani saringan COVID-19 di klinik kesihatan berdekatan.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Kementerian Kesihatan tidak pernah mengeluarkan arahan rasmi seperti yang ditularkan itu.

Sebaliknya, jelas beliau, individu yang perlu menjalani saringan COVID-19 adalah mereka yang mempunyai sejarah kontak rapat dengan kes positif COVID-19.

“Selain itu, penduduk yang berada di kawasan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran iaitu di radius 1 kilometer dari Restoran Nasi Kandar Salleh, Pekan Napoh (Mukim Hosba, Kubang Pasu); Kampung Pida Satu, Megat Dewa (Mukim Ah, Kubang Pasu); Kampung Bendang Dalam (Mukim Binjal, Kubang Pasu) dan Kampung Ulu, Padang Sanai (Padang Terap),” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Dr Noor Hisham menambah, saringan turut diwajibkan ke atas mereka yang berkait rapat dengan kedai makan yang terbabit dalam Kluster PUI Sivagangga seperti pelanggan atau orang yang singgah makan.

Mereka yang berurusan dengan kes indeks kluster ini atau dengan pekerja-pekerja di kedai makan tersebut dari 13 Julai 2020 sehingga 27 Julai 2020 turut diminta melakukan saringan.

Beliau turut meminta mereka yang mempunyai gejala demam atau gejala saluran pernafasan untuk mengambil tindakan serupa.

“Individu-individu seperti di atas perlu segera menghubungi pejabat kesihatan daerah yang berdekatan untuk menjalani saringan COVID-19.

“Kementerian Kesihatan akan terus bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan, jabatan kesihatan negeri (JKN) dan jabatan pendidikan negeri (JPN) dalam menangani isu ini bagi memastikan arahan yang dikeluarkan adalah sahih dan tepat,” jelasnya.

Dr Noor Hisham memberitahu, sekiranya mempunyai sebarang kemusykilan berhubung isu berita palsu atau isu-isu lain berkaitan COVID-19, orang awam boleh menghubungi talian CPRC Kebangsaan, KKM di talian hotline: 03-88810200, 03-88810600, 03-88810700 dan e-mel rasmi; [email protected]

Maklumat lanjut yang sahih mengenai kejadian COVID-19 di Malaysia boleh juga didapati melalui saluran telegram CPRC Kementerian Kesihatan Malaysia; https://t.me/cprckkm.

Orang ramai diingatkan supaya berhati-hati sebelum menyebarkan sebarang kandungan yang diragui kesahihannya dan boleh menyalurkan maklumat kepada Pasukan Respon Pantas (PRP) Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) di talian 03-8911 5103 atau layari laman sesawang Sebenarnya.my untuk menyemak kesahihan berita.

Orang ramai juga diseru supaya tidak menularkan sebarang berita palsu atau berita yang diragui kesahihannya. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.