Sumbangan besar MAIN, agensi zakat untuk petugas, rakyat

35

4 OGOS: Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dan agensi mengurus zakat (AMZ) memberi sumbangan besar dalam membantu petugas barisan hadapan dan rakyat terjejas teruk akibat penularan wabak COVID-19, sejak Mac lalu.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary, berkata ini boleh dilihat apabila MAIN dan AMZ menyalurkan peruntukan besar berjumlah lebih RM426.9 juta bagi membantu golongan asnaf, pelajar, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), petugas barisan hadapan dan gelandangan.

Malah, Ahmad Marzuk yang juga Ahli Parlimen PAS Pengkalan Chepa berkata Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) sendiri mengagihkan bantuan zakat berjumlah lebih RM45 juta bagi membantu golongan asnaf, pelajar, petugas barisan hadapan, NGO dan gelandangan di Wilayah Persekutuan mulai 18 Mac 2020.

Beliau berkata antara jenis bantuan disalurkan MAIWP ialah bantuan khas zakat tambahan berjumlah RM500 kepada 24,196 asnaf dengan jumlah keseluruhan lebih RM12 juta.

“MAIWP juga mempercepatkan bantuan bulan kepada penerima zakat di Wilayah Persekutuan pada bulan pertama pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan COVID-19.

“Bagi mereka terjejas akibat pelaksanaan PKP, MAIWP turut menyediakan bantuan kecemasan akibat COVID-19 dan sehingga kini seramai 17,500 menerima manfaat daripada skim ini yang sehingga kini berjumlah RM8.65 juta.

“MAIWP juga turut mengagihkan bantuan makanan kepada petugas barisan hadapan dan memberikan bantuan kewangan kepada tujuh hospital serta pakaian perlindungan peribadi (PPE) kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan dikemukan oleh Ahli Parlimen PAS Pasir Puteh, Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh yang meminta Perdana Menteri menyatakan penjelasan setakat mana sumbangan wang zakat dan baitulmal digunakan untuk membantu golongan terkesan sepanjang PKP.

Menjawab soalan tambahan dikemukakan oleh Dr Nik Muhammad Zawawi, Ahmad Marzuk, berkata kerajaan tidak bercadang menubuhkan sebuah perbadanan bagi menguruskan hal ehwal zakat di peringkat nasional kerana perkara itu bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan perkara itu tertakluk kepada bidang kuasa MAIN dan Sultan/Raja sebagai ketua agama di negeri berkenaan.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.