PTPTN lanjut penangguhan bayaran sampai Disember

38

4 OGOS: Penangguhan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dilanjutkan untuk tempoh tiga bulan lagi bermula 1 Oktober hingga 31 Disember.

Langkah itu diambil seiring pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengenai lanjutan moratorium dan bantuan bank bersasar bagi mereka yang terkesan dengan penularan COVID-19.

Menteri Pengajian tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad berkata, semua peminjam PTPTN akan diberikan penangguhan bayaran balik pinjaman secara automatik tanpa perlu membuat sebarang permohonan sebagaimana pelaksanaan penangguhan sebelum ini.

Katanya, penangguhan terbabit membabitkan jumlah bayaran balik kira-kira RM375 juta.

“Ini bermakna jumlah keseluruhan anggaran penangguhan bayaran balik adalah sebanyak RM1.13 bilion.

“Sekiranya ada peminjam ingin meneruskan bayaran balik pinjaman, mereka boleh berbuat demikian melalui saluran bayaran balik secara dalam talian yang disediakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Noraini berkata, kerajaan amat prihatin dan peka terhadap kekangan kewangan yang dihadapi segelintir peminjam PTPTN yang terkesan akibat kehilangan punca pendapatan susulan penularan wabak itu.

“Diharapkan pengumuman ini dapat membantu meringankan beban yang ditanggung oleh peminjam PTPTN,” katanya.

Untuk maklumat dan pertanyaan lanjut, peminjam boleh menghubungi Careline PTPTN menerusi talian di 03 – 2193 3000 yang beroperasi Isnin hingga Jumaat, jam 9 pagi hingga 5 petang atau layari portal rasmi, www.ptptn.gov.my.

Kerajaan dilaporkan bersetuju melaksanakan lanjutan moratorium dan bantuan bank bersasar khusus kepada rakyat yang hilang pekerjaan dan masih belum mendapat pekerjaan baharu.

Muhyiddin pada 29 Julai lalu dipetik berkata, lanjutan moratorium akan diberikan untuk tempoh tiga bulan.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.