Polis serbu Al Jazeera selepas dapat waran geledah

92

4 OGOS: Serbuan yang dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap pejabat Al Jazeera, Astro dan UnifiTV hari ini adalah berikutan waran geledah yang dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur dan Mahkamah Majistret Sepang.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, tindakan itu dilakukan bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Beliau menambah, SKMM turut membuka kertas siasatan ke atas stesen-stesen penyiaran terbabit.

“Serbuan tersebut turut merampas komputer dan kesemua rampasan akan dihantar ke SKMM untuk analisis lanjut.

“Keterangan saksi-saksi lain turut diambil ketika serbuan dilaksanakan bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan media, malam ini.

Huzir memberitahu, hasil siasatan akan dikemukakan kepada Pejabat Peguam Negara dalam masa terdekat.

Beliau turut menegaskan, tindakan yang dilaksanakan itu adalah berlandaskan undang-undang.

“Tiada individu atau entiti yang akan terlepas daripada sebarang tindakan jika jelas mencabuli undang-undang yang berkuat kuasa di Malaysia,” jelasnya.

Sementara itu, Al Jazeera dalam kenyataan media hari ini mengesahkan dua komputer telah dirampas.– Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.