Pelajar dari keluarga B40 dikecualikan caj kuarantin

92

4 OGOS: Hanya pelajar daripada keluarga berpendapatan 40 peratus terendah (B40) selain pemegang kad orang kurang upaya (OKU) berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) boleh memohon pengecualian pembayaran kos kuarantin.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata sebaik pelajar terbabit tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), mereka perlu memaklumkan sekretariat yang bertugas bagi membolehkan rujukan kepada pangkalan data Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dibuat.

Katanya selepas pengesahan dengan LHDN, pelajar yang layak akan diberi borang kelulusan yang perlu dikemuka kepada pihak hotel sewaktu membuat pendaftaran bilik.

“Bagi pelajar yang telah tamat pengajian pula, hanya mereka yang di bawah tajaan sahaja tidak perlu membayar kos kuarantin kerana kos ditanggung oleh pihak penaja.

“Caj kos kuarantin di semua stesen kuarantin sama ada hotel ataupun institut latihan awam (ILA) adalah sama,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Ismail berkata, individu yang enggan membayar caj kuarantin atau menandatangani LoU (perjanjian pembayaran), mereka akan dihantar ke ILA terlebih dahulu, memandangkan kemudahan itu adalah milik kerajaan dan penempatan individu terbabit boleh dilakukan tanpa pembayaran deposit.

Beliau berkata, ia bagi mengelakkan individu terbabit terdedah kepada orang awam.

Katanya, di ILA, mereka perlu menyelesaikan pembayaran caj kuarantin RM150 sehari dalam masa 14 hari dan sekiranya gagal, mereka akan dikenakan kompaun RM1,000 dan tindakan mahkamah.

Semalam, BH melaporkan pelajar daripada keluarga B40 yang pulang dari luar negara, boleh membuat rayuan bagi mendapatkan pengecualian bayaran kos kuarantin wajib 14 hari di hotel atau pusat kuarantin disediakan kerajaan.

Ismail Sabri dilaporkan berkata, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) akan meneliti sama ada mereka yang memohon itu layak diberi pengecualian berkenaan.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.