PDRM periksa pejabat Al Jazeera

50

4 OGOS: Polis Diraja Malaysia (PDRM) melakukan pemeriksaan mengejut terhadap pejabat stesen penyiaran antarabangsa, Al Jazeera di Kuala Lumpur tengah hari tadi.

Selain Al Jazeera, PDRM dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menjalankan pemeriksaan di Astro serta sebuah lagi syarikat media yang turut menyiarkan dokumentari berjudul ‘Locked Up in Malaysia’s Lockdown’.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, berkata pemeriksaan dibuat selepas pihaknya menerima waran untuk berbuat demikian daripada Jabatan Peguam Negara.

“Serbuan dijalankan pada tengah hari tadi oleh sepasukan pegawai serta anggota dari Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman dan ia masih berlangsung.

“Pemeriksaan dilakukan bagi mengesan segala dokumen diperlukan dan rakaman atau bahan yang boleh membantu siasatan polis,” katanya kepada dalam kenyataan media, hari ini.

Difahamkan, Bukit Aman akan mengeluarkan kenyataan rasmi serta maklumat penuh mengenai pemeriksaan itu dalam masa terdekat.

Sebelum ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador mengesahkan kertas siasatan terhadap Al Jazeera dibuka selepas Pejabat Peguam Negara (AG) mendapati dokumentari terbitan stesen penyiaran antarabangsa itu cuba memburukkan nama Malaysia dengan melaporkan perkara tidak tepat mengenai layanan pihak berkuasa kepada warga asing ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) baru-baru ini.

Difahamkan, siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap Al Jazeera akan dilakukan mengikut Akta Hasutan dan Akta Komunikasi dan Multimedia kerana menyebarkan berita tidak benar dan bersifat menghasut.

Abdul Hamid dipetik sebagai, berkata polis sentiasa bertindak adil dan saksama kepada semua pihak termasuk wakil media tempatan dan antarabangsa, namun laporan dokumentari itu jelas mencetuskan rasa tidak senang dan kemarahan orang ramai.

Berikutan itu, Hamid berkata, polis sudah memanggil enam kakitangan Al Jazeera termasuk wartawan dan penerbit rancangan berkenaan hari ini bagi memberikan keterangan berhubung penerbitan dokumentari terbabit.

Jelasnya, kesemua enam editor dan wartawan agensi antarabangsa itu dipanggil sebagai saksi bagi membantu siasatan dan bukannya sebagai suspek.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.