PDRM kemuka 3 cadangan selesai kes kematian Adib

123

4 OGOS: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengemukakan tiga cadangan kepada Jabatan Peguam Negara bagi menyelesaikan kes kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim, yang meninggal dunia pada 17 Disember 2018, selepas mengalami kecederaan parah dalam insiden rusuhan kuil.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata cadangan berkenaan timbul selepas PDRM menyerahkan semula kertas siasatan kes kematian Adib kepada Jabatan Peguam Negara pada 23 Julai lalu.

Menurut beliau, antara cadangan dikemukakan PDRM adalah dengan mendakwa 12 suspek yang sebelum ini disyaki terbabit dalam kematian Adib mengikut Seksyen 143 Kanun Keseksaan.

HAMZAH ZAINUDIN

Hamzah menambah, cadangan kedua adalah kerajaan membuka semula inkues untuk siasatan kes kematian Adib sekiranya mendapat persetujuan Jabatan Peguam Negara berdasarkan peruntukan di bawah Seksyen 339(2) Kanun Tatacara Jenayah.

“Siri tindakan ini susulan keputusan yang dicapai Mahkamah Koroner Shah Alam pada 27 September lalu. Mahkamah memutuskan punca kematian Adib bukan disebabkan kemalangan, tetapi perbuatan jenayah oleh dua orang atau lebih suspek.

“Berdasarkan keputusan itu, PDRM menjalankan siasatan selari arahan Jabatan Peguam Negara dan kumpulkan bukti yang ada untuk kemukakan semula kepada pihak pendakwaan,” katanya ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong bagi kementeriannya dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Allahyarham Muhammad Adib yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November 2018.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember 2018 di Institut Jantung Negara (IJN).

Pada 27 September 2019, Mahkamah Koroner Shah Alam memutuskan kematian Muhammad Adib adalah akibat perbuatan jenayah yang dilakukan lebih dua atau tiga individu tidak diketahui.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador pada 13 Julai lalu dilaporkan berkata, masih tiada saksi yang dipanggil memberi keterangan benar-benar melihat Muhammad Adib dipukul.

Abdul Hamid berkata, semua keterangan yang diperoleh pihaknya bersifat dengar cakap dan pendapat serta usaha mengenal pasti pelaku jenayah terbabit masih dijalankan.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.