Nisbah doktor, anggota kesihatan kini melebihi syor WHO

142

4 OGOS: Nisbah doktor berbanding penduduk di Malaysia kini adalah 1:454 dengan jumlah keseluruhan doktor adalah seramai 71,041 orang sama ada yang berkhidmat di sektor awam mahu pun swasta.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, daripada jumlah itu, seramai 51,912 doktor perubatan atau 73 peratus daripadanya bekerja di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Nisbah semasa ini adalah lebih baik daripada 1:500. Selain itu, sehingga 30 Jun lalu, ada 11,059 doktor pergigian yang bekerja di sektor awam dan swasta.

“Ia menjadikan nisbah doktor pergigian kepada penduduk adalah bersamaan dengan 1:2,963. Daripada jumlah ini, seramai 6,530 doktor pergigian atau 59 peratus berdaftar dan berkhidmat di KKM.

“Bagi ahli farmasi pula, seramai 19,341 bekerja di sektor awam dan swasta, menjadikan nisbah ahli farmasi kepada penduduk bersamaan dengan 1:1,694.

“Daripada jumlah ini, seramai 11,616 ahli farmasi atau 60 peratus berdaftar dan berkhidmat di KKM,” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen PH- Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mengenai bilangan doktor yang bekerja bersama KKM dan berapa nisbah doktor berbanding penduduk di Malaysia.

Dr Adham menjelaskan, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) atau sebarang pertubuhan antarabangsa tidak pernah menetapkan sasaran nisbah anggota perubatan kepada penduduk bagi mana-mana negara.

“Bagaimanapun, WHO melalui laporan ‘Keperluan Petugas Kesihatan Mengenai Liputan Kesihatan Sejagat dan Matlamat Pembangunan Lestari’ pada 2016 ada menetapkan garis panduan.

“WHO menyatakan liputan kesihatan sejagat yang baik pada kadar 80 peratus bagi perkhidmatan membabitkan ibu anak, penyakit berjangkit dan penyakit tidak berjangkit.

“Nisbah yang disarankan sekurang-kurangnya seorang anggota kesihatan, terdiri daripada doktor dan jururawat terlatih bagi setiap 225 penduduk diperlukan.

“Malaysia pada tahun lalu, mencapai seorang anggota kesihatan bagi setiap 186 penduduk, iaitu melebihi sasaran yang disyorkan WHO untuk mendapatkan liputan kesihatan sejagat,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.