Kerajaan tidak cadang henti prosiding kes IPIC di London

47

4 OGOS: Kerajaan tidak bercadang menghentikan prosiding mahkamah di London terhadap International Petroleum Investment Company (IPIC) untuk membatalkan Perjanjian Penyelesaian antara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan IPIC pada 2017.

Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun, berkata kerajaan sentiasa bersifat terbuka untuk menimbang sebarang penyelesaian jika terdapat tawaran yang sejajar dengan prinsip dan tanggungjawab kerajaan Malaysia, iaitu untuk memastikan aset negara dipulangkan dan pada masa yang sama, keadilan ditegakkan.

“Justeru, perbincangan sentiasa dilakukan antara kedua-dua kerajaan (Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu), termasuk sewaktu kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan juga kerajaan ketika ini.

“Perbincangan ini hanya membabitkan pegawai kerajaan Malaysia dan UAE tanpa pembabitan mana-mana pihak lain,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada Mei tahun lalu, bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas, memaklumkan Malaysia menerusi 1MDB dan Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) memfailkan permohonan mendapatkan izin bagi merayu keputusan Mahkamah Dagang London, United Kingdom ke Mahkamah Rayuan.

Beliau berkata tindakan itu dibuat susulan keputusan Mahkamah London membenarkan permohonan mendapatkan semula AS$3.5 bilion (RM14.69 bilion) daripada IPIC diputuskan terlebih dahulu menerusi prosiding timbang tara yang tertutup.

1MDB dan MKD pada Oktober 2018 memfailkan permohonan di Mahkamah Dagang bagi mencabar Award Persetujuan yang direkodkan dua pihak dari Malaysia di bawah pentadbiran Datuk Seri Najib Razak pada Mei 2017 dengan IPIC Aabar.

Di bawah Award Persetujuan, Malaysia dikehendaki membayar AS$5.78 bilion (RM24.16 bilion) kepada IPIC dan Pemegang Amanah Bon untuk tempoh lebih lima tahun, disebabkan Malaysia dikehendaki, antara lainnya, mengambil tanggungjawab penuh untuk semua bayaran faedah dan jumlah pokok di bawah dua bon dikeluarkan oleh 1MDB pada 2012 yang dijamin bersama oleh IPIC.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.