Hanya 1 kes jangkitan COVID-19 hari ini

57

4 OGOS: Setelah lebih sebulan berlalu, kes jangkitan COVID-19 kembali turun kepada hanya satu kes hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kali terakhir jumlah sama dilaporkan adalah pada 1 Julai lalu.

Menurut beliau, kes tersebut melibatkan rakyat tempatan yang mengalami jangkitan respiratori akut yang teruk (SARI) yang dirawat di Hospital Tuanku Fauziah, Perlis.

“Tiada kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara yang dilaporkan pada hari ini,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Dr Noor Hisham memberitahu, secara keseluruhan, terdapat sebanyak 9,002 kes positif COVID-19 manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 193 kes.

Beliau menambah, tiada kes positif COVID-19 yang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan tiada pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan pada hari ini.

“Justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 125 kes atau 1.39 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” jelasnya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 16 kes pulih hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 adalah sebanyak 8,684 kes atau 96.5 peratus daripada jumlah keseluruhan kes. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.