Hampir capai 100 peratus kadar sara diri bahan makanan

63

4 OGOS: Malaysia sudah mencapai tahap 100 peratus sara diri bagi item makanan seperti ikan, ayam, sayur-sayuran dan buah-buahan tempatan.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee, berkata ketika ini Malaysia hanya mengimport beberapa item makanan seperti daging dan beberapa jenis sayuran termasuk cili, kobis dan buah-buahan iklim sederhana yang tidak ekonomikal untuk di tanam di sini.

Beliau berkata Malaysia juga terpaksa mengimport bahan makanan seperti potongan ayam, gandum dan kelapa untuk keperluan industri makanan bagi hasilan berasaskan agro makanan.

“Malah, ada produk hasilan industri berkenaan yang dieksport semula ke luar negara bagi mengimbangi jurang antara import dan import bahan makanan.

“Oleh itu persepsi bahawa Malaysia masih bergantunng kepada import bahan makanan dari luar negara adalah kurang tepat,” katanya ketika berucap di sesi pengulungan Titah Diraja ucapan Yang Dipertuan Agong di sini, sebentar tadi.

Ronald yang juga Ahli Parlimen BERSATU Beluran berkata kementerian juga sentiasa memantau bekalan makanan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga hari ini.

Beliau berkata berdasarkan pemantauan mendapati bekalan makanan sepanjang PKP hingga sekarang adalah mencukupi dan stabil.

“Isu kekurangan bekalan makanan di premis perniagaan terutama pedalaman dan luar bandar ketika peringkat awal PKP adalah berpunca daripada masalah rantaian pengedaran daripada peringkat pengeluar kepada peruncit bukannya berpunca daripada masalah kekurangan bekalan.

“Masalah pengeluaran di ladang berjaya di atasi dengan belian harga lantai, sebagai contoh Pusat Pembelian FAMA Jerantut telah membuat pembelian sayuran dan buah sebanyak 100 tan matriks dengan anggaran nilai RM122,000 sepanjang tempoh PKP lalu.

“Harga lantai untuk belian timun misalnya ditetapkan pada kadar 70 sen per sekilogram bagi petani yang sudah menandatangani perjanjian landang kontrak di bawah kementerian ini,” katanya. -Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.