Had hutang kebankrapan akan dinaikkan

432

4 OGOS: Kerajaan akan meminda Akta Insolvensi 1967 bagi menaikkan had hutang bankrap atau bankruptcy threshold yang kini ditetapkan pada RM50,000 untuk membantu rakyat khususnya generasi muda berikutan pandemik COVID-19.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, pada masa ini kementeriannya sedang meneliti pindaan yang perlu dilakukan terhadap Seksyen 5 (1) akta itu termasuk mengadakan libat urus dengan pihak berkepentingan.

“Ya memang saya sebut kerajaan prihatin dalam pasca COVID-19 ini dan kerajaan akan membentangkan dalam persidangan ini, satu pindaan khususnya kepada Seksyen 5 Akta Insolvensi yang melibatkan had bankrap baharu.

“Saya tak boleh umumkan lagi kerana ianya akan dibentang dalam persidangan ini juga,” katanya dalam sesi soal jawab Sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen PH Segambut, Hannah Yeoh sama ada kerajaan akan menaikkan had hutang bankrap atau bankruptcy threshold yang kini pada RM50,000 berikutan ramai kehilangan kerja atau tiada upaya untuk membayar balik akibat COVID-19.

Dalam pada itu, menjawab pertanyaan Ahli Parlimen GPS Sibuti, Lukanisman Awang Sauni berhubung jika kerajaan telah mengkaji sepenuhnya undang-undang tersebut bagi memudahkan rakyat yang diisytihar muflis, Takiyuddin memberitahu di bawah Akta A1534, satu peruntukan yang baharu di bawah Sekseyen 33 C iaitu Pelepasan Automatik diperknalkan bagi melayakkan mereka yang bankrap dilepaskan secara automatik.

Beliau menambah, perkara itu juga turut mengambil kira amalan terbaik antarabangsa bagi melakyakkan bankrap dilepaskan di bawah peruntukan akta tersebut namun mereka perlu pohon dahulu dan hendaklah mematuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan.

“Justeru, pindaan tersebut dapat membantu dan memudahkan bankrap untuk memahami dan mematuhi arahan yang telah ditetapkan berdasarkan undang-undang yang telah ditetapkan. Kunci utama seorang bankrap agar status kebankrapan tidak berkekalan sepanjang hayat perlu memahami, memberi kerjasama yang penuh dan mematuhi arahan Jabatan Insolvensi Malaysia,” katanya. -Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.