Arab Saudi lakukan persiapan umrah

56

4 OGOS: Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi akan menilai segera pengalaman menyelaras ibadah haji tahun ini yang berlangsung ketika wabak COVID-19 masih menjadi ancaman global.

Memetik Saudi Gazette, Timbalan Menteri Haji, Umrah dan Hal Ehwal Haji, Dr Hussein Al-Sharif, berkata ini bagi membolehkan kementeriannya memulakan persiapan bagi musim umrah.

Katanya, pihaknya akan mengambil iktibar pengalaman ketika musim haji kali ini yang menyaksikan prosedur operasi standard (SOP) kesihatan terunggul diambil bagi memastikan ibadah haji lancar walaupun Arab Saudi terjejas teruk akibat pandemik COVID-19.

Al-Sharif berkata, jemaah haji diwajibkan menjalani kuarantin kendiri di rumah selama tujuh dengan dilarang sama sekali keluar rumah dan Kementerian Kesihatan akan melakukan pemeriksaan berkala berdasarkan protokol kesihatan.

Tambah beliau, jemaah yang dikuarantin di penempatan yang disediakan di Makkah selepas selesai menunaikan ibadah haji Ahad lalu akan dibawa terus ke lapangan terbang sekiranya mahu pulang menaiki penerbangan.

Bagi mereka yang pulang menggunakan jalan darat pula, pihak kementeriannya menyediakan pengangkutan dan akan memantau kesihatan mereka bagi memastikan peraturan kuarantin dipatuhi.

Al-Sharif juga memuji perkhidmatan, persediaan dan penyelarasan musim haji tahun ini yang membolehkan jemaah menunaikan ibadah secara tenang lagi selesa.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.