Akta khas digubal tangani isu hina mahkamah

66

4 OGOS: Kerajaan sedang mengubal undang-undang khusus bagi menangani kes menghina mahkamah di Malaysia sama seperti yang sudah diwujudkan di Singapura iaitu “Administration of Justice (Protection) Act 2016”.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan, menjelaskan usaha berkenaan penggubalan rang undang-undang berkenaan sudah dirintis sejak 2010 yang membawa kepada draf berhubung perundangan khas itu berupaya disiapkan tiga tahun kemudian.

Berikutan itu Jabatan Peguam Negara (JPN) sedang melaksanakan kajian perbandingan undang-undang di India, United Kingdom, Singapura dan beberapa negara lain.

Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Pas Kota Bharu berkata draf undang-undang khas itu seterusnya dirujuk ke pihak mahkamah dan menerima maklum balas yang baik untuk diteruskan.

“JPN sudah melihat dan mengkaji perkara ini sejak 2010 lagi, pada 2013 satu draf undang-undang berkaitan sudah disiapkan dan dirujuk kepada mahkamah dan mereka memberikan maklum balas agak baik.

“Pada 2016 draf rang undang-undang berkenaan sudah memasuki peringkat pengesahan bahagian penggubalan JPN namun demikian setahun kemudian Kementerian Dalam Negeri pindaan terhadap Akta Hasutan yang turut menyentuh mengenai penghinaan terhadap mahkamah terutama di bawah Seksyen 31(c) Akta Hasutan,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri (MQT), di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Liew Vui Keong (WARISAN-Batu Sapi) mengenai sama ada kerajaan bercadang memperkenalkan undang-undang khas seperti Akta Pentadbiran Keadilan (Perlindungan) 2016 di Singapura bagi menangani kes menghina mahkamah yang kian meningkat.

Dalam pada itu, Takiyuddin berkata kerajaan juga akan mendapatkan input (maklum balas) daripada semua pihak pemegang taruh terbabit.

“Oleh itu perkara ini dikaji semula oleh kerajaan untuk diselaraskan semula dengan pindaan dibuat. Tindakan berkenaan perlu kerana buat masa sekarang tiada undang-undang khusus digubal di Malaysia bagi menangani kes menghina mahkamah,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.