Tuduhan BN ‘rompak’ wang GST tidak benar

80

3 OGOS: Tuduhan pihak tertentu kononnya wang tuntutan bayaran balik cukai barang dan perkhidmatan (GST) berjumlah RM19.4 bilion telah ‘dirompak’ oleh kerajaan terdahulu di bawah Barisan Nasional (BN) adalah tidak benar.

Timbalan Menteri Kewangan II, Mohd Shahar Abdullah berkata, wang tersebut sebenarnya telah dibelanjakan untuk merancakkan pembangunan negara.

“Tiada wang GST yang dirompak dan kedua wang tersebut digunakan untuk pembangunan negara. Hasil laporan Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC), kita sedang menambah baik proses kutipan dan pembayaran balik GST seperti yang dikehendaki dalam laporan PAC bertarikah 15 Julai 2020.

“Wang RM19.4 bilion itu merupakan wang yang sepatutnya dibayar balik GST ketika itu tetapi berlaku penambahan tuntutan GST sebanyak lebih kurang RM19 bilion. Ini bermakna proses kutipan bayaran balik GST bukan proses yang tidak dinamik.

“Ia satu proses dinamik yang memerlukan pautan yang sangat dalam supaya tidak berlakunya ketirisan wang dan saya yakin jika kita dapat selesaikan pembayaran balik GST, ekonomi kita pasti akan dapat ditingkatkan,” katanya dalam sesi soal jawab Sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen BN Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan berhubung tuduhan bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menuduh kerajaan BN merompak kutipan hasil GST.

Dalam pada itu, menjawab pertanyaan Ahli Parlimen BN Jempol, Datuk Salim Sharif berhubung hasil kutipan cukai jualan dan perkhidmatan (SST), Mohd Shahar memberitahu, kutipan SST mencatatkan kutipan yang mengecewakan berbanding pelaksanaan GST ketika BN.

“Kutipan SST 2019 merupakan kutipan berkurangan daripada GST seperti mana tahun 2016 dan 2017. Kutipan SST pada 2016 hanya mencatat RM 27.6 billion berbanding kutipan GST pada tahun 2016 berjumlah RM4.12 billion dan pada 2017 berjumlah RM 44.9 bilion,” jelasnya.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Bebas Kubang Pasu, Datuk Amiruddin Hamzah berhubung masa yang diambil agar aliran tunai balik GST dapat dipulangkan kepada syarikat, beliau berkata, pihaknya tidak pernah menangguhkan dan mempercepatkan proses pembayaran balik GST.

“Seperti mana soalan Yang Berhormat tadi mengenai aliran tunai, kita akui sedang tingkatkan proses untuk kita gerakkan semua kakitangan kita untuk lakukan proses audit.

“Berkaitan jenis syarikat terpilih seperti sedia maklum sebagai YB di kementerian dulu telah pecahkan kepada tiga kategori iaitu syarikat bawah RM50,000, syarikat atas RM50,000 ke RM100,000 dan ketiga syarikat yang RM100,000 ke atas.

“Tapi selepas pengumuman 15 Jun, kita telah pun buat penambahbaikan yang kini terbahagi kepada dua iaitu RM100,000 ke bawah dan RM100,000 ke bawah. Insya-Allah kita akan percepatkan proses ini supaya tak akan aniayai mana-mana syarikat yang sepatutnya mendapat bayaran balik GST,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.