Sekolah 2021 bermula 20 Januari

137

3 OGOS: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menetapkan hari Rabu, 20 Januari 2021 sebagai tarikh pembukaan penggal pertama takwin sesi persekolahan 2021 bagi sekolah di seluruh negara.

Menteri Kanan Pendidikan, Dr Mohd Radzi Jidin, berkata kementerian memuktamadkan tarikh pembukaan sesi persekolahan lebih lewat  daripada kebiasaan dengan mengambil kira Takwim Penggal dan Cuti Persekolahan Tahun 2021.

Dr Mohd Radzi berkata ini bermakna cuti persekolahan bagi 2020 akan diteruskan mulai Disember 2020 sehingga 20 Januari 2021.

“Apabila saya mengumumkan cuti dipendekkan untuk 2020, kita merancang sesi persekolahan 2021 perlu dilewatkan,” katanya
ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong bagi pihak KPM dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Sementara itu, Dr Mohd Radzi berkata biarpun kementerian sentiasa prihatin mengenai kebajikan dan beban tugas guru di sekolah akibat penularan COVID-19, namun KPM tidak bercadang memberikan sebarang insentif khas kerana mengambil kira beban kewangan ditanggung kerajaan sekarang.

Dalam pada itu, Dr Mohd Razdi berkata setakat ini KPM berpuas hati dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan penjarakan fizikal dalam kalangan pelajar selepas pembukaan sesi persekolahan baharu akibat penularan COVID-19, baru-baru.

“Secara keseluruhannya KPM berpuas hati dengan pematuhan SOP dan penjarakan fizikal termasuk dari segi susun atur meja dan penjarakan fizikal pelajar ketika waktu rehat.

“Malah, Alhamdulillah saya sendiri yang melakukan tinjauan ke beberapa sekolah mendapati semua pelajar termasuk murid sekolah rendah Tahun 1 hingga 3 sekali pun sudah mematuhi SOP dan penjarakan fizikal termasuk duduk di meja masing-masing seperti diarahkan KPM, sebelum ini,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.