Kluster Sivagangga: 5 sekolah diarah tutup

46

3 OGOS: Kerajaan negeri Kedah mengarahkan lima sekolah di daerah Kubang Pasu dan Padang Terap yang dikaitkan dengan kluster pesakit bawah siasatan (PUI) COVID-19 Sivagangga ditutup serta-merta selama 28 hari mulai hari ini.

Lima sekolah terbabit adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hosba, SMK Megat Dewa, Sekolah Kebangsaan (SK) Hosba dan SK Megat Dewa di Kubang Pasu manakala di Padang Terap ialah SK Kubang Palas.

Menurut kenyataan media dikeluarkan, kerajaan negeri terpaksa berbuat demikian bagi menyekat penularan wabak COVID-19 di Kedah.

“Kesemua sekolah ini ditutup selama 28 hari yang merangkumi 14 hari tempoh kuarantin dan 14 hari tempoh pemerhatian.

“Perkara itu diputuskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam mesyuarat bersama Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor hari ini,” jelas kenyataan itu.

Langkah berkenaan juga adalah selaras dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersasar (TEMCO) di Mukim Ah, Mukim Hosba dan Mukim Binjal (Kubang Pasu) serta Kampung Ulu Padang Sanai (Padang Terap).

TEMCO meliputi kawalan pergerakan orang awam dalam radius satu kilometer daripada Restoran Nasi Kandar Salleh, Napoh yang terbabit.

“Oleh itu, kesemua guru yang tinggal di kawasan TEMCO sama sekali tidak dibenarkan untuk hadir bertugas manakala guru yang tinggal di luar kawasan berkenaan tidak dibenarkan untuk ke sekolah yang berada berhampiran kawasan TEMCO.

“Guru yang tinggal dan bertugas di luar kawasan TEMCO tetapi perlu melalui kawasan berkenaan dibenarkan,” tambah kenyataan tersebut.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.