Kelab malam ambil inisiatif kesan pemandu mabuk

73

3 OGOS: Kesedaran mengekang gejala pemandu mabuk didapati semakin tinggi dalam kalangan pengusaha kelab malam walaupun pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) baru dibentang untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, komitmen itu dapat dilihat apabila sebahagian pengusaha menggunakan alat pengimbas untuk mengesan pelanggan yang mabuk.

“Kita hanya memaklumkan yang tahap alkohol sekarang kita turunkan dengan lebih ketat dan memang sudah ada kesedaran beli alat pengimbas, apa penting kita tak wajibkan mereka, cuma mereka minum tidak boleh mabuk.

“Kita cuma menggalakkan sesiapa terlibat kempen ini kena patuh kepada Akta 333 namun sudah ada pengusaha pusat hiburan membeli alat itu untuk mencuba.

“Ini semua kini telah lakukan dan kita juga akan menggalakkan Grab rancakkan kempen mereka guna perkhidmatan itu,” katanya dalam sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen BN Parit, Datuk Mohd Nizar Zakaria berhubung langkag kerajaan mewajibkan pengusaha kelab malam melakukan ujian di bawah alkohol terhadap pelanggan sebelum dibenarkan memandu pulang.

Sementara itu, menjawab soalan Ahli Parlimen PH Tampin, Datuk Dr Hasan Bahrom berkenaan langkah kerajaan bagi memastikan pemandu tidak memandu dalam keadaan mabuk, Ka Siong memberitahu mengarahkan Kementerian Pengangkutan dan agensi-agensi utama termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan MIROS untuk menggiatkan lagi aktiviti advokasi dan program pendidikan keselamatan jalan raya.

Justeru itu, beliau menyeru semua pihak yang berkepentingan termasuk NGO, pengusaha premis minuman dan makanan, pengendali perkhidmatan pengangkutan awam dan lain-lain untuk untuk bekerjasama dengan kementerian bagi menjayakan usaha ini ke arah menjamin kesejahteraan dan keselamatan rakyat Malaysia.

“Saya percaya pelbagai program, kemudahan dan inisiatif boleh diadakan dengan jayanya dengan sokongan dan penglibatan semua pihak.

“Kementerian Pengangkutan berharap agar rang undang-undang pindaan yang akan dibentangkan di dalam dewan ini akan mendapat sokongan daripada semua Ahli-ahli Yang Berhormat,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.