Banyak pusat hiburan mula curi-curi operasi

59

3 OGOS: Walaupun ancaman COVID-19 belum berakhir, namun sebahagian besar premis hiburan di seluruh negara dikesan sudah menjalankan aktiviti perniagaan mereka meskipun kerajaan masih belum memberikan kebenaran untuk sektor itu beroperasi.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor berkata, turut membimbangkan apabila ramai yang mengunjungi premis-premis terbabit.

“Saya amat khuatir apabila ada usaha segelintir premis hiburan yang curi-curi membukanya di mana baru-baru ini kita dapati ramai yang berkunjung ke situ (pusat hiburan).

“Pada masa ini polis tidak akan berkompromi dan akan terus mengambil tindakan yang sepatutnya terhadap mana-mana premis yang masih berdegil menjalankan aktiviti hiburan mereka,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling, Jaya, di sini, hari ini.

Memetik laporan BH Online Mazlan berkata, polis akan sentiasa memantau dan mengalu-alukan sebarang maklumat dari orang ramai.

“Saya meminta sesiapa sahaja yang ada maklumat salurkan kepada polis dan tindakan tegas termasuk menutup premis akan diambil.

“Kita tidak mahu gelombang kedua dan sebagainya berlaku dan jangan ambil peluang apabila melihat kes COVID-19 sudah berkurangan kerana kita masih terdedah kepadanya,” katanya.

Minggu lalu, akhbar mendedahkan kewujudan sebuah restoran dan bistro yang berubah menjadi pusat hiburan di aras bumbung sebuah menara di Persiaran KLCC yang beroperasi lebih masa dan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Get real time updates directly on you device, subscribe now.