Keluar sebab tak setuju kerajaan Warisan sokong Dr. Mahathir

1,157

3 OGOS: Tidak mahu menjadi sebahagian daripada pentadbiran yang menyokong Tun Dr. Mahathir Mohamad telah mendorong Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Inanam, Kenny Chua keluar daripada kerajaan negeri diterajui Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.

Kenny yang mengeluarkan kenyataan buat pertama kali sejak menyatakan sokongan kepada Tan Sri Musa Aman sebagai Ketua Menteri tempoh hari berkata, Warisan bukan sahaja telah menyatakan sokongan terbuka kepada Dr. Mahathir bahkan dilaporkan mahu meminda perlembagaan untuk memberi tempat kepada bekas Perdana Menteri itu.

“Ini bertentangan dengan prinsip saya untuk menjadi sebahagian daripada pemerintahan yang dipimpin oleh Warisan kerana parti ini secara terbuka menyatakan sokongannya kepada Dr Mahathir. Malah dilaporkan bahawa Warisan bersedia meminda perlembagaan untuk menyambut Dr. Mahathir ke dalam parti.

“Saya telah berulang kali mengatakan bahawa sebagai pemimpin PKR Sabah, adalah tepat bagi saya untuk tetap setia kepada presiden parti (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan memberikan sokongan yang tidak berbelah bagi kepadanya sebagai Perdana Menteri berikutnya seperti dijanjikan kepada rakyat Malaysia dan Sabah semasa pilihan raya umum lalu,” katanya.

Naib Ketua PKR negeri yang dipecat oleh partinya kerana menyokong Musa menolak tuduhan bahawa dia telah ditawar sejumlah besar wang untuk itu.

“Pihak berkuasa boleh menyiasat saya. Mereka boleh memeriksa akaun bank saya jika mereka mengesyaki bahawa saya telah ditawarkan berjuta-juta ringgit.

“Tetapi mungkin secara adil, mereka juga harus meminta siasatan terhadap wakil rakyat yang berpihak untuk membantu Warisan membentuk pemerintahan pada 2018,” katanya.

Kenny juga mengatakan bahawa kerajaan negeri kekurangan dana untuk membangunkan Sabah dan sebab itu sangat penting untuk memperoleh dana kerajaan Persekutuan.

ADUN Inanam itu juga mengatakan dia ingin peluang kedua untuk membuktikan hasratnya kepada rakyat jika diberi peluang untuk dipilih semula.

Minggu lalu, Mohd Shafie meminta pembubaran DUN Sabah setelah Musa memperoleh sokongan majoriti ADUN Sabah.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.