Saman sivil tuntut ganti rugi kemalangan akibat pemandu mabuk

179

3 OGOS: Keluarga mangsa yang maut akibat kecuaian pemandu mabuk disaran supaya mengemukakan saman sivil terhadap individu terbabit bagi menuntut bayaran ganti rugi bersesuaian berikutan kehilangan orang tersayang.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata biarpun tuntutan pampasan kepada ahli keluarga mangsa kemalangan akibat pemandu mabuk tidak terletak di bawah bidang kuasa kementerian, namun mereka boleh berbuat demikian dengan menggunakan undang-undang sedia ada.

Berikutan itu, Ka Siong berkata, keluarga mangsa boleh memulakan tuntutan sivil terhadap pemandu berkenaan mengikut Akta Undang-undang Sivil 1956.

“Berhubung dengan bayaran khas (pampasan) kepada mangsa, seksyen 426 Kanun Tatacara Jenayah [Akta 593] memperuntukkan bahawa Mahkamah yang membicarakan seseorang tertuduh boleh, atas permohonan Pendakwa Raya, memerintahkan agar orang tertuduh yang telah disabitkan itu membayar pampasan kepada mangsa yang terjejas akibat daripada kesalahan yang dilakukan oleh tertuduh,” katanya ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Terdahulu, Ka Siong berkata Rang Undang-Undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 telah dibentangkan pada mesyuarat kali ini akan memberikan fokus utama terhadap pindaan untuk meningkatkan hukuman kepada pesalah yang memandu kenderaan dengan cuai/melulu serta di bawah pengaruh alkohol atau dadah.

Beliau berkata pindaan kali ini juga akan meminda kadar kandungan alkohol dalam darah yang dibenarkan mengikut piawaian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Dalam pada itu, Ka Siong berkata kementeriannya juga sentiasa memantau dengan rapi pelaksanaan projek-projek infrastruktur pengangkutan sedia ada seperti MRT2 dan LRT3 supaya ia dapat disiapkan dalam masa yang dirancang.

Beliau berkata projek MRT2 iaitu MRT Laluan Putrajaya telah dimulakan pada 7 Oktober 2015 dan dijangka siap sepenuhnya menjelang Januari 2023.

“Setakat Julai 2020, status kemajuan projek MRT2 ini adalah sekitar 75.4 peratus manakala, bagi projek LRT3 pula, projek ini telah dimulakan pada 7 November 2015 dan dijangka siap sepenuhnya menjelang Februari 2024. Status kemajuan projek LRT 3 sehingga Julai 2020 adalah sebanyak 33.1 peratus,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.