UK gempar kes kucing pertama positif COVID-19

45

Seekor kucing peliharaan baka Siam di selatan England muncul sebagai haiwan yang pertama di United Kingdom (UK) disahkan positif dijangkiti wabak berbahaya COVID-19, lapor media tempatan.

Berita sedih itu disahkan Ketua Pegawai Veterinar UK, Christine Middlemiss tetapi menegaskan bahawa belum ada ‘bukti’ yang menunjukkan binatang boleh menyebarkan virus tersebut.

Kes unik itu dikesan selepas ujian makmal dijalankan pada awal bulan ini di Surrey, London, namun beliau menyeru masyarakat agar tidak cemas dengan haiwan jinak dipelihara mereka.

Middlemiss malah berkata ‘semua bukti sedia ada’ menunjukkan kucing itu berkemungkinan besar sudah lama dijangkiti penyakit tersebut daripada si tuannya sendiri yang diuji positif COVID-19.

Beliau turut merujuk kes itu sebagai ‘kejadian amat jarang berlaku’ sambil menambah sehingga kini kucing tersebut hanya menunjukkan gejala klinikal ringan dan sembuh dalam beberapa hari.

“Pihak kami sentiasa terus pantau rapi situasi ini dan akan kemas kini panduan kepada pemilik haiwan peliharaan di rumah sekiranya keadaan penularan virus itu berubah,” jelas Middlemiss.

Kucing peliharaan betina berusia enam tahun itu pada mulanya didiagnosis oleh doktor haiwan klinik veterinar swasta sebagai kes virus herpes kucing, iaitu jangkitan pernafasan yang biasa.

Bagaimanapun sampel itu juga diuji sekali lagi di makmal kesihatan haiwan di Weybridge minggu lepas sebagai sebahagian daripada rutin program penyelidikan susulan saringan virus korona.

Satu kenyataan media Kementerian Alam Sekitar Britain berkata bahawa kucing tersebut tidak menimbulkan risiko COVID-19 meskipun ia merupakan kes pertama jangkitan kepada haiwan.

Pengarah Perubatan di Jabatan Kesihatan Awam England, Yvonne Doyle turut sokong dengan berkata, pada masa ini, tiada bukti haiwan peliharaan boleh menyebarkan penyakit itu kepada manusia.

“Belum ada bukti kata haiwan mempunyai kaitan dalam penularan penyakit tetapi sejajar dengan nasihat awam, anda harus sentiasa cuci tangan sebelum dan selepas sentuh binatang tersebut.”

Awal April lalu, Persatuan Veterinar British mencetuskan panik dalam kalangan pemilik kucing apabila mendakwa 11 juta ekor haiwan itu di negara tersebut ada potensi dijangkiti COVID-19 dan wajar dikuarantin.

Ia susulan timbul kes jangkitan wabak berkenaan terhadap kucing di Belgium dan Hong Kong pada Mac lepas yang didapati berpunca daripada pemilik binatang jinak domestik itu sendiri.

Walaupun demikian, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menegaskan tiada bukti saintifik kononnya kucing atau sebarang haiwan peliharaan menjadi punca penularan COVID-19.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.