PDRM tahan 315 individu ingkar PKPP

22

Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 315 individu atas pelbagai kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) termasuk aktiviti melibatkan pusat urut tanpa lesen semalam.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu tiha individu direman manakala 312 individu dikenakan kompaun.

“Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk aktiviti yang tidak mengikuti SOP (38), aktiviti dengan melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan
penjarakan sosial (150) dan tidak memakai pelitup muka (127).

“Pasukan Bertindak Operasi Pematuhan diketuai PDRM membuat 63,473 pemeriksaan semalam bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan SOP Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, menurutnya, PDRM telah melakukan 2,263 pemeriksaan bagi memantau individu yang sedang menjalani kuarantin wajib selama 14 hari di kediaman masing-masing, semalam.

Menurut beliau, sejak 24 Julai sehingga semalam seramai 4,286 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan kesemua mereka telah ditempatkan di 16 hotel dan lima Institut Latihan Awam (ILA) stesen kuarantin di Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Sarawak, Selangor dan Johor.

“Mereka (4,286 individu) telah pulang dari 24 negara iaitu Filipina, Thailand, Indonesia, Kemboja, Singapura, Vietnam, Brunei, Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Hong Kong, India, UAE, Jepun, Turki, Korea Selatan, Iran, Bangladesh, Taiwan, China, United Kingdom, Belanda, Papua New Guinea dan Australia.

“Daripada jumlah itu, seramai 13 individu telah dihantar ke hospital untuk rawatan,” katanya.

Dalam pada itu, mengenai Operasi Benteng, Ismail Sabri berkata, PDRM membuat 64 sekatan jalan raya di seluruh negara serta memeriksa 35,459 kenderaan bagi mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) semalam terutamanya lorong-lorong tikus.

“Orang ramai boleh melaporkan sebarang aktiviti kemasukan atau pencerobohan pendatang asing tanpa izin (PATI) kepada talian 011-6251 1223,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.