PAS sokong usaha Pahang martabat tulisan jawi

103

2 OGOS: PAS memberi sokongan penuh terhadap tindakan kerajaan negeri Pahang mewajibkan tulisan jawi pada papan kenyataan dan premis perniagaan di negeri tersebut.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, langkah tersebut merupakan satu usaha dalam mengembalikan martabat tulisan jawi sebagai salah satu teras kebudayaan negara.

Menurut beliau, kebanyakan bangsa di dunia telah kehilangan tulisan, bahkan budaya dan adat resam mereka yang tersendiri

“Tindakan itu juga untuk mengukuhkan semula asas pembentukan negara Malaysia yang dibina atas permuafakatan menerima Islam sebagai agama Persekutuan, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan budaya Melayu sebagai teras kebudayaan.

“Sejarah membuktikan perjanjian utama samada di era penjajahan atau sebelumnya ditulis dalam tulisan jawi. Bahkan setiap pengisytiharan Majlis Raja-Raja, surat rasmi kerajaan dan mata wang juga ditulis dalam tulisan jawi,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Walau bagaimanapun, Tuan Ibrahim yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air meluahkan kekesalan apabila sedikit demi sedikit tulisan jawi dipinggirkan daripada kehidupan masyarakat pada masa ini.

Beliau menambah, PAS melahirkan kebimbangan ini sejak Penyata Khir Johari sekitar 1960-an yang memansuhkan penggunaan tulisan jawi dalam sistem pendidikan negara.

“Namun mutakhir ini, usaha untuk memperkasakan semula tulisan jawi adalah tepat sebelum luput dan tidak dipedulikan lagi.

“Mereka yang menentang usaha ini adalah golongan yang lupa daratan dan buta sejarah pembentukan negara,” jelasnya.

Tuan Ibrahim menambah, PAS turut menyeru agar semua negeri melaksanakan agenda pemerkasaan tulisan jawi seperti Pahang bermula di papan tanda premis dan jalan. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.