Jangan solat di lorong kecemasan elak kemalangan

63

2 OGOS: Anih Berhad mengingatkan agar pengguna Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak (KLK) yang tersekat dalam kesesakan tidak menunaikan solat di lorong kecemasan lebuh raya itu atas faktor keselamatan.

Pemegang konsesi KLK dan Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) itu dalam satu kenyataan media memberitahu tindakan tersebut dikhuatiri boleh menyebabkan penunggang motosikal atau kenderaan lain yang mungkin tidak menyedari kehadiran individu di lorong kecemasan itu.

“Kami amat menghargai kesabaran pengguna Lebuhraya KLK dan juga ketaatan umat Islam menunaikan ibadah solat ketika dalam perjalanan ke Pantai Timur pada setiap kali musim perayaan dan cuti umum.

“Namun, kami sebagai pengendali Lebuhraya KLK juga ingin memohon kesabaran dan penelitian wajar daripada pengguna jalan raya agar tidak menunaikan solat di atas jalan raya iaitu di lorong kecemasan atas faktor keselamatan,” kata kenyataan itu.

Baru-baru ini, tular dalam media sosial, gambar yang menunjukkan pengguna lebuh raya menunaikan solat subuh di lorong kecemasan di Lebuh Raya KLK akibat kesesakan lalu lintas untuk pulang ke kampung bagi sambutan Aidiladha.

Sementara itu, Anih Berhad berharap pengguna lebuh raya dapat merancang perjalanan dan persinggahan untuk bersolat atau berhenti rehat di hentian rehat dan rawat sepanjang LPT1 dan KLK ketika pulang ke Lembah Klang.

Menurutnya, tindakan itu sebagai langkah persediaan dalam menjangkakan peningkatan jumlah kenderaan mendadak dan kesesakan yang bakal ditempuhi kelak.

“ANIH Berhad amat menghargai komitmen para pengguna jalan raya dalam meningkatkan keselamatan di jalan raya untuk diri sendiri, keluarga dan pengguna lain serta senantiasa bersabar di dalam aliran trafik puncak,” jelas kenyataan tersebut. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.