Ekonomi Sabah tercorot sejak Warisan berkuasa

96

2 OGOS: Pertumbuhan ekonomi Sabah jatuh sebanyak 1.5 peratus selepas kerajaan negeri yang diperintah Parti Warisan Sabah (Warisan) dan menyokong Pakatan Harapan (PH) berkuasa pada 2018.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kadar itu merupakan paling rendah berbanding semua negeri lain di Malaysia.

Beliau menambah, pertumbuhan ekonomi Sabah juga adalah paling rendah sejak 10 tahun lalu dan jauh di bawah kadar pertumbuhan ekonomi negara sebanyak 4.7 peratus.

“Ini bermakna Sabah semakin ketinggalan dengan negeri-negeri lain bermula tahun 2018.

“Jika kita perhatikan, kerajaan PH terdahulu dan kerajaan Warisan Sabah tidak pernah melancarkan dan melaksanakan pelan strategik yang wajar bagi pertumbuhan Sabah,” katanya dalam hantaran Facebook miliknya hari ini.

Najib yang juga bekas Menteri Kewangan memberitahu, projek-projek sedia ada dimansuhkan atau dilambatkan seperti Pan Borneo Sabah pada masa bantuan kepada rakyat Sabah diturunkan.

Sebaliknya, beliau mendakwa, projek-projek baharu di bawah Warisan seperti empangan Papar bernilai RM3 bilion diberi kepada kroni syarikat terowong Pulau Pinang yang bertapak di Semenanjung.

Menurut Najib, projek untuk penyelenggaraan jalan berturap Sabah bernilai RM1.5 bilion pula diberi kepada lima syarikat secara rundingan terus termasuk sebuah syarikat yang terlibat dalam kes rasuah seorang menteri Sabah.

“Itu antara sebab-sebab ekonomi Sabah dijangka semakin lembab di bawah Warisan,” jelasnya.

Sebagai perbandingan, beliau berkata, dalam tempoh lapan tahun sebelum kerajaan negeri Sabah bertukar tangan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), kadar pertumbuhan ekonomi Sabah adalah lebih tinggi berbanding kadar pertumbuhan negara.

“Misalnya pada tahun 2017, kadar Sabah adalah 8.2 peratus iaitu paling tinggi antara semua negeri dan lebih tinggi berbanding kadar 5.9 peratus bagi seluruh Malaysia.

“Pada tahun 2016, Sabah mencatatkan pertumbuhan 4.7 peratus berbanding kadar 4.2 peratus untuk Malaysia,” ujarnya.

Secara am, jelas Najib, ekonomi Sabah telah berkembang pada kadar lebih pesat berbanding purata untuk negeri-negeri lain sebelum Warisan mengambil alih. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.