20 kes Kluster Sivagangga dikesan positif

128

2 OGOS: Sebanyak 20 kes Kluster PUI Sivagangga di Kedah dikesan positif COVID-19 setakat jam 12 tengah hari tadi dan kesemuanya aktif dengan kebolehjangkitan virus berkenaan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, secara keseluruhan, seramai 313 orang telah disaring.

Menurut beliau, sebanyak 280 orang didapati negatif manakala 13 kes pula masih menunggu keputusan ujian.

“Tiada kes dirawat di ICU dan tiada kematian dilaporkan. Daripada kes positif yang dilaporkan, sebanyak 15 kes adalah dalam kalangan rakyat Malaysia dan lima kes adalah dalam kalangan bukan rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Dr Noor Hisham menambah, sebanyak 11 kes positif dilaporkan ke Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Balas Krisis (CPRC) Kebangsaan Kementerian Kesihatan.

Beliau memberitahu, lapan kes merupakan kontak rapat kepada kes positif ke-8975 (generasi pertama), iaitu termasuk juga satu kes pelajar sekolah berumur 7 tahun.

“Tiga kes merupakan kontak rapat kepada kes positif ke-8976 iaitu generasi pertama, iaitu termasuk juga satu kes pelajar sekolah berumur 10 tahun,” jelasnya.

Dr Noor Hisham menyatakan, kesemua kes telah dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk diasingkan dan menerima rawatan.

“Aktiviti pengesanan kontak rapat secara aktif giat dilaksanakan oleh pejabat kesihatan daerah (PKD) untuk mencegah penularan COVID-19.

“Aktiviti pembersihan dan nyah kuman dilaksanakan di semua premis termasuk sekolah yang terlibat dan rumah kes yang dikesan positif,” ujarnya.

Secara keseluruhan, beliau berkata, sebanyak 14 kes baharu dilaporkan hari ini menjadikan sebanyak 8,999 kes positif COVID-19 sehingga kini

Selain 11 kes di bawah Kluster PUI Sivagangga, dua kes dikesan di Sabah manakala satu kes lagi adalah kes import melibatkan warga Filipina.

Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 210 kes dan mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

Sebanyak 17 kes telah pulih COVID-19 hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes yang pulih sepenuhnya adalah sebanyak 8,664 kes atau 96.3 peratus.

Tiada kematian akibat COVID-19 dilaporkan hari ini justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 125 kes atau 1.39 peratus daripada jumlah keseluruhan kes. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.