UMNO Sabah tak terlibat rampas kuasa – Bung Moktar

215

1 OGOS: UMNO Sabah menafikan terlibat dalam cubaan rampasan kuasa politik baru-baru ini yang seterusnya membawa kepada pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri tersebut.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin memberitahu parti itu langsung tidak terlibat dalam sebarang tindakan bagi merampas kerajaan negeri itu daripada Parti Warisan Sabah (Warisan).

“Seperti kita sedia maklum, ura-ura mempunyai cukup majoriti bagi mengambil alih kerajaan negeri adalah pakatan dalam kalangan pelbagai parti di Sabah.

“UMNO Sabah secara jelas tidak terlibat dalam sebarang perkara yang berlaku seperti yang diumumkan sebelum ini,” katanya dalam kenyataan media.

Sementara itu, Bung Moktar yang merupakan Ahli Parlimen BN Kinabatangan memberitahu, pihaknya berpendirian bahawa Pilihan Raya Negeri (PRN) dilihat sebagai jalan penyelesaian terbaik bagi menghadapi kemelut politik yang melanda negeri Sabah ketika ini selepas pembubaran DUN diumumkan kelmarin.

Namun, beliau mengakui PRN bukan pilihan terbaik terutama ketika pandemik COVID-19 masih melanda.

“PRN bukanlah pilihan utama jika dilihat dari sudut keadaan sekarang ini namun bagi menyelesaikan kemelut politik Sabah, ini jalan terbaik.

“UMNO dan BN akan mengadakan mesyuarat bagi membincangkan beberapa perkara penting termasuk persiapan menghadapi PRN bila-bila masa.

“Rakyat Sabah sudah pernah memilih BN dan Warisan sebelum ini, jadi kita serahkan semula kepada rakyat parti mana yang mereka lebih yakin dan percayai,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.