Penambahan kerusi dan COVID-19, kos PRN Sabah berganda

163

1 OGOS: Sebanyak 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) akan dipertandingkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang akan diadakan tidak lama lagi berbanding hanya 60 pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

Perkara itu disahkan Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Sabah Rohiman Rahia ketika dihubungi Bernama hari ini.

“Sebanyak 73 kerusi akan dipertandingkan,” katanya ringkas seperti dilaporkan BERNAMA.

Pada PRU ke-14, sebanyak 60 kerusi DUN dipertandingkan, namun pada Julai tahun lepas Dewan Rakyat meluluskan usul tambahan 13 kerusi DUN Sabah, menjadikan kedudukan semasa 73 kerusi.

Terdahulu, SPR dilapor mengesyorkan jumlah Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Negeri bagi Negeri Sabah ditambah sebanyak 13 Bahagian yang menjadikan jumlah keseluruhan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Negeri bagi Negeri Sabah sebanyak 73 Bahagian.

Tiga belas DUN berkenaan ialah N02 Bengkoka; N06 Bandau; N08 Pintasan; N13 Pantai Dalit; N17 Darau; N24 Tanjung Keramat; N27 Limbahau; N44 Tulid; N47 Telupid; N51 Sungai Manila; N58 Lamag; N61 Segama dan N70 Kukusan.

PRN Sabah bakal diadakan selepas DUN semasa dibubarkan. Perkara itu diumumkan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pada Khamis lalu, beberapa jam selepas bekas Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman mendakwa blok pembangkang memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri baharu.

Sementara itu, di KOTA BHARU, kerajaan Persekutuan menjangkakan PRN Sabah dijangka menelan kos lebih besar dan berganda daripada kebiasaan, berikutan pandemik COVID-19.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, peruntukan bertambah berikutan pelbagai langkah perlu diambil bagi memastikan PRN diadakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Katanya, berapa banyak peruntukan itu akan ditentukan selepas mesyuarat diadakan dalam masa terdekat.

“Pilihan Raya ketika COVID-19 ini, semestinya babitkan peruntukan lebih tinggi. Salah satu contoh dakwat celup tidak boleh digunakan seperti biasa dan perlu menyediakan dengan jumlah yang banyak.

“Pada masa sama, proses sanitasi, menyediakan tempat penjarakan dan semestinya proses mengambil masa lama yang sekali gus membabitkan elaun turut bertambah.

“Jika dulu Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), membabitkan kos RM500 juta, sekiranya PRU dilakukan sekarang, ia akan menelan kos lebih RM1 bilion. Itu gambaran yang diberikan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.