Jangan layan tuntutan Filipina – Musa Aman

134

1 OGOS: Kerajaan dinasihatkan supaya tidak melayan dan mengiktiraf sebarang tuntutan daripada Filipina atau pihak lain ke atas Sabah.

Bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman berkata, Sabah merupakan sebahagian daripada Persekutuan Malaysia dan sepatutnya tiada keraguan atau pertikaian berhubung perkara tersebut.

“Saya menggesa Filipina termasuk Setiausaha Luarnya memberhentikan cerita naratif sebegini bagi tujuan politik dalaman kerana ia tidak baik untuk hubungan dua hala dengan negara-negara ASEAN lain.

“Terbaharu, kes Mahkamah Tinggi antara kerajaan Malaysia dan Nurhima Kiram Fornan & Ors (2020), hakim Martin Idang sudah pun memutuskan dengan jelas bahawa Sabah adalah (sebahagian daripada) Malaysia dan tiada negara lain mempunyai hak atau kuasa terhadap hal ehwal Sabah ” katanya menerusi kenyataan dalam Facebook miliknya, hari ini.

Baru-baru ini, Setiausaha Luar Filipina, Teodoro Locsin Jr menerusi akaun Twitter cuba menguji hubungan diplomatik dengan menimbulkan tuntutan ke atas Sabah.

Berikutan itu, Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dalam akaun Twitter miliknya menegaskan akan memanggil Duta Filipina pada Isnin ini berhubung ciapan Menteri Luar Filipina itu pada 27 Julai lalu.

Dalam pada itu, Musa menegaskan dengan jelas bahawa rakyat Malaysia tidak mengiktiraf sebarang tuntutan yang dilakukan Filipina ke atas Sabah.

Beliau menambah, Sabah merupakan sebahagian daripada Malaysia dan telah memilih untuk terus menjadi sebahagian daripada negara ini.

“Rakyat di Sabah sudah memilih untuk terus menjadi negeri kerana ia dalam Malaysia.

“Kami telah menikmati keamanan, kestabilan dan kemakmuran ekonomi dalam Malaysia,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.