ADUN cabar dasar jawi di Pahang, apa tindakan DAP?

218

1 OGOS: Tindakan seorang wakil rakyat DAP Pahang mencabar di mahkamah dasar mewajibkan penggunaan tulisan jawi di papan tanda iklan di negeri itu bukan sahaja dikesali, bahkan disifatkan sebagai biadab.

Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO Pahang, Fadzli Mohamad Kamal berkata tindakan ADUN Tras, Chow Yu Hui yang memfailkan permohonan di mahkamah untuk mencabar ketetapan Kerajaan Negeri Pahang itu sangat keteralaluan.

“Malah, beliau (Yu Hui) secara lantang menyatakan pelaksanaan tulisan jawi harus dilakukan menerusi galakan dan secara sukarela, bukannya secara paksaan.

“Tindakan Yu Hui ini mencabar titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah agar penggunaan tulisan jawi diperluaskan di papan tanda jalan, premis perniagaan dan perumahan di seluruh Pahang, demi memartabatkan semula tulisan itu,” katanya dalam satu kenyataan menerusi UMNO Online.

Memetik laporan media kelmarin, turut berada di mahkamah Kuantan memberi sokongan kepada Yu Hui adalah Setiausaha DAP Pahang, Lee Chin Chen.

“Jawatankuasa DAP Pahang memutuskan untuk membantah dasar ini kerana ia tidak selari dengan prinsip kepelbagaian budaya, selain membebankan pemilik perniagaan,” kata Chin Chen dalam kenyataan.

Yu Hui pula menjelaskan beliau menghormati Jawi sebagai tulisan warisan, tapi berpendirian bahawa, kerajaan negeri tidak patut mewajibkan tulisan itu pada papan tanda peniaga dan NGO tetapi sepatutnya menggalakkan penggunaan tulisan Jawi di kalangan masyarakat,

Sementara itu, tindakan Yu Hui ini juga tambah Fadzli yang juga Ketua Pemuda UMNO Raub menunjukkan betapa DAP sudah ketandusan isu untuk diketengahkan.

“Ini kerana, majoriti pemilik premis perniagaan di seluruh Pahang termasuk bukan Melayu sudahpun melaksanakan dasar ini dan mempamerkan tulisan jawi di papan tanda premis mereka sejak awal Januari lalu.

“Saya cabar Ahli Parlimen DAP Raub, Tengku Zulpuri dan ADUN Dap Ketari, Young Syefura Othman menyatakan pendirian berhubung isu ini. Adakah mereka setuju dengan tindakan Yu Hui?,” soalnya.

Hakikatnya jelas beliau lagi DAP semakin dilupakan di Pahang. Wakil rakyat mereka sudah sekian lama hilang dari radar terutama sejak tumbangnya Kerajaan PH pada Februari lalu.

“Kini DAP mahu kembali dilihat relevan, di saat ramai menjangkakan PRU-15 akan berlangsung pada bila-bila masa.

“Tetapi isu yang dibangkitkan membuktikan Dap benar-benar terdesak untuk meraih perhatian dan sokongan rakyat”, ujarnya.

Tindakan ADUN Dap itu juga mendapat kritikan pelbagai pihak termasuk Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

Presidennya, Muhammad Faisal Abdul Aziz berpendapat, tindakan itu boleh mencetuskan provokasi yang membawa ketegangan hubungan antara kaum dalam situasi negara masih dibayangi dengan pelbagai polemik berbaur perkauman. – Oleh M. HERMAN HAMID

Get real time updates directly on you device, subscribe now.